Thursday 10 March 2016

The Runaway Princess : Bab 9

Craig

Tiada apa yang lebih melegakan hatinya selain dari melihat wajah Viktoria kembali ke istana. Walaupun puteri itu kelihatan kotor dan lesu, namun senyuman manis masih tidak lekang dari bibirnya. Craig tersenyum melihat Viktoria menunggang kuda sambil diiringi beberapa orang lelaki berpakaian tentera dan masing-masing kelihatan gembira melihat puteri itu kembali ke istana. 

Selepas Viktoria hilang di sungai Jarnia, Craig tidak ada pilihan lain selain dari kembali ke istana dengan perkabaran buruk itu. Dia menambat kuda milik Viktoria pada kudanya lalu memecut laju pulang ke istana. Dia tahu dia pasti dihukum jika nyawa Viktoria melayang. Dia tahu dia sepatutnya menghalang Viktoria dari awal lagi. Viktoria terlalu mentah untuk semua itu walaupun dia akui yang Viktoria memang bijak dan tabah orangnya berbanding adik-beradiknya yang lain. Namun... Viktoria masih seorang puteri raja yang berharga. Sekurang-kurangnya sangat berharga di matanya.

Craig hampir jatuh terjelupuk di kaki Jeneral Ilyas yang sedang melatih pasukannya. Mata Jeneral itu begitu dingin merenungnya dan Craig juga sedar yang dia juga telah mengingkari arahan Jeneral Ilyas untuk turun ke arena pagi itu. Dia tahu dia mungkin akan dihukum pancung, tetapi dia tidak peduli. Dia segera melaporkan kehilangan Viktoria dan Jeneral itu tanpa berlengah segera mengarahkan tentera bawahannya membentuk kepada beberapa pasukan dan mula keluar meronda bagi mencari dan menyelamatkan Viktoria.

Craig dibawa menghadap Raja Nathan di singgahsana oleh Jeneral Ilyas dan pipi dan dadanya sakit ditumbuk oleh raja itu apabila mengetahui perkara yang menimpa anakandanya. Terketar-ketar tangan baginda apabila diberitahu tentang Viktoria dan kesedihan dan perasaan runsing mula timbul di wajah tuanya. Garis-garis halus mula kelihatan di dahinya dan Craig menyedari yang raja itu kelihatan lebih tua apabila dia berasa runsing. Craig diarahkan kembali ke kandang kuda menunggu hukuman yang bakal diterima walaupun dia berkeras hendak mengikut operasi menyelamat itu. Namun dia sekadar tertunduk ke tanah apabila suara dingin Jeneral Ilyas menyapa telinganya.

"Kau tunggu saja hukuman kau di sini. Kau tak layak bersama pasukanku!"

Craig mundar-mandir enggan makan dan berehat walaupun dinasihati ibunya. Dia merasakan apa yang berlaku adalah salahnya. Matanya meliar memandang ke arah gerbang istana menanti sebarang berita tentang Viktoria.

Kini, puteri itu telah kembali ke istana dan sesampai di perkarangan istana, Viktoria melompat turun dari kudanya seperti anak kecil dan meluru laju ke arahnya. Viktoria mendepakan lengannya lalu mendakap tubuh Craig membuatkan wajah lelaki itu merona kemerahan.

"Maafkan aku sebab buat kau risau." Bisik Viktoria sebaik sahaja melepaskan pelukannya.

"Apa jadi pada kau? Kau lemas, bukan?" Craig menyoal.

"Aku dah selamat. Seseorang dah menyelamatkan aku."

"Siapa?" Dahi Craig berkerut.

"Aku beritahu kau kemudian. Aku mahu menghadap ayahanda." Kata Viktoria lalu pantas berlari masuk ke dalam istana sambil diiringi dayang-dayang istana yang berkeras mahu dia membersihkan diri dan berpakaian seperti puteri sebelum bertemu raja.

Craig terduduk di tanah dan batinnya menjerit lega. Jika sesuatu berlaku pada Viktoria, entah apa yang akan berlaku. Dia pasti akan dihukum juga. Malah, dia telah melepaskan satu-satunya peluang untuk menyertai pasukan tentera. Renungan tajam dari Jeneral Ilyas menusuk kalbunya. Dia sedikit menyesal dan terlintas di hatinya yang Viktorialah yang menyebabkan dia kehilangan peluang itu, namun dia masih bersyukur kerana puteri itu sudah pulang dengan selamat.

Malam itu, mereka bertemu lagi di kandang kuda. Viktoria sudah membersihkan diri dan kembali kelihatan seperti seorang puteri raja. Dia mengambil tempat di atas jerami di sebelah Craig. "Siapa yang selamatkan kau?" Craig tidak menunggu lama lalu terus mengajukan soalan itu.

Viktoria tersenyum. "Kalau aku beritahu kau pun, mesti kau tak percaya."

"Kenapa? Adakah kau diselamatkan oleh ahli sihir?"

Viktoria menampar bahu lelaki itu. "Jangan merepek! Kuasa sihir dah lama hilang dari kerajaan kita ni." Jawabnya menunjukkan wajah serius. Memang benar katanya yang sihir telahpun lenyap dari kerajaan Grandolia sejak lebih 100 tahun lalu. Sudah tidak ada lagi pengamal sihir di kerajaan itu sekarang.

"Habis tu?"

"Aku diselamatkan oleh puak Grey." Bisik Viktoria membuatkan mata Craig terbuka luas.

"Puak Grey? Tapi, macam mana kau boleh selamat kembali?"

"Kita semua dah silap, Craig. Puak Grey bukan seperti apa yang kita anggap selama ni."

"Apa maksud kau?"

"Mereka bukannya puak penjenayah, mereka bukannya kaya dan mereka bukannya hendak berperang dengan kita. Mereka cuma puak yang disisihkan oleh kerajaan kita hanya disebabkan dulu mereka pernah bersekutu dengan musuh Grandolia."

Craig merenung puteri itu seperti tidak percaya.

"Aku bertemu dengan seorang perempuan yang baik dan sanggup tolong aku kembali ke sini. Dia langsung tak tahu siapa aku yang sebenarnya. Aku juga dah masuk ke perkampungan mereka. Mereka tak hidup macam kita, Craig. Mereka miskin dan hanya bergantung pada kehidupan berburu dan bertani. Mereka bukannya ada bala tentera untuk berperang dengan kita. Aku tak tahu kenapa ayahanda mengarahkan tentera Grandolia untuk bunuh mereka kalau terserempak atau kalau mereka menyeberang sungai Jarnia. Hakikatnya, kita semua dah salah sangka. Perang dengan mereka dah tamat lama dulu dan aku rasa Grandolia tak patut sisihkan mereka. Mereka juga rakyat negara kita."

"Viktoria, kalau tuanku dengar kau cakap begini, kau akan dianggap bersekutu dnegan pemberontak." Tegur Craig sambil menggaru pipinya yang tidak gatal.

Viktoria menggeleng. "Tapi mereka bukannya pemberontak!"

Craig menghela nafasnya. "Jadi apa yang kau nak buat?"

"Aku akan cari jalan supaya Grandolia mengiktiraf mereka sebagai rakyat negara ini juga." Craig seperti ternampak terdapat sinaran di mata Viktoria. Suara puteri itu kedengaran tegas.

"Kau juga perlu bersedia untuk pilih calon suami di majlis tari-menari tu nanti."

Wajah Viktoria berubah riak. Dia terlupa yang dia perlu menghadiri majlis tari-menari, diperkenalkan kepada masyarakat dan memilih calon jodoh yang sesuai.

"Aku akan cakap dengan ayahanda pasal ni. Aku nak tahu kenapa ayahanda buat begini. AKu tak mahu ayahanda terus salah sangka dengan puak Grey. Lepas tu baru aku fikir tentang calon suami." Viktoria mengangkat punggung dari jerami. Seketika kemudian dia menoleh memandang ke arah Craig. "Maafkan aku sebab susahkan kau. Ibu kau dah beritahu aku yang ayahanda mungkin akan hukum kau."

Craig tertunduk. "Mungkin itu nasib aku."

"Aku akan cakap dengan ayahanda yang semua ni bukannya salah kau. Aku yang berkeras nak menyeberang sungai Jarnia. Aku yang patut dihukum, bukannya kau. Kau kawan baik aku, aku tak patut susahkan kau!"

Kawan baik? Berdesing pula telinga Craig mendengar perkataan itu. 

"Nasib kau lebih baik sebab kau dilahirkan sebagai puteri. Jika kau dilahirkan dalam kehidupan aku, kau takkan tahu apa yang aku lalui." Katanya dengan suara yang sedikit tegas. Viktoria memandang ke arahnya dengan terkejut.

"Aku minta maaf sebab aku menyusahkan kau selama ni, Craig!" 

Viktoria pantas menapak keluar dari kandang kuda itu kembali ke istana meninggalkan Craig yang termenung sendirian. Bukan semudah itu hendak mengubah fikiran baginda, termasuklah oleh anak-anaknya sendiri. Craig tahu dia akan dihukum. Dia mungkin akan disebat, dipenjarakan untuk beberapa lama ataupun dihalau keluar dari istana. Jika Viktoria tidak dijumpai, dia mungkin akan dihukum gantung. Ibunya akan meraung dan hilang harapan untuk hidup. Mungkin akan menjadi gila sehingga dihalau dari istana dan merempat di jalanan.

Baru saja Craig hendak keluar dari kandang kuda, bahunya disentuh seseorang membuatkan dia tersentak. Jeneral Ilyas sedang berdiri di hadapannya dengan wajah yang serius. Namun berbanding siang tadi, wajahnya lebih berlembut dan berperasaan.

"Tuan..." Craig menegur namun menghalakan pandangan matanya ke tanah.

"Jika aku beri kau peluang, adakah kau akan gunakan peluang kedua ni dengan sebaiknya?" Tanya Jeneral Ilyas membuatkan Craig terpaku.

Peluang?

"Apa maksud tuan?" Craig bertanya.

"Jika kau tak kembali ke arena ni selepas subuh esok, peluang kau untuk jadi tentera Grandolia akan terkubur."

Wajah Craig berubah riak. Antara gembira dan tidak percaya. Pada masa itu dia berharap yang dia tidak tersalah dengar ataupun sedang bermimpi. "Maksud tuan, saya masih boleh sertai tentera?"

"Bergantung pada prestasi kau." Untuk pertama kali, Craig sedar yang Jeneral Ilyas sedang tesenyum padanya.

"Tapi kenapa..."

"Kau patut berterima kasih pada Puteri Viktoria. Baginda yang datang berjumpaku siang tadi merayu supaya kau dipertimbangkan untuk sertai tentera."

Craig hanya terdiam membisu.

*****

Viktoria

Viktoria kembali ke kamarnya di istana dengan hati yang sedikit panas dan perasaan bersalah. Bukan dia tidak tahu apa yang dilalui oleh Craig. Lelaki itu ialah sahabat karibnya sejak kecil lagi. Dia selalu mencuri-curi keluar dari istana pada waktu malam hanya untuk berjumpa lelaki itu. Bukannya dia tidak mengambil berat terhadap Craig. Malah dia amat menyayangi lelaki itu sebagai sahabat, sebagai seorang abang.

Viktoria memadamkan api lilin di atas meja sebelum menarik langsir sutera berwarna ungu dan emas membiarkan cahaya bulan penuh memancar masuk ke dalam biliknya. Penat badannya masih belum hilang, seharian dia berjalan di dalam hutan, dan pengalaman dikejar lanun bersama Marwin tadi memang tidak akan dilupakan. Dia bersyukur kerana masih bernafas di muka bumi. Dia bersyukur kerana diberi peluang untuk kembali ke istana. Dia bersyukur kerana dia mungkin diberi peluang untuk mengubah persepsi dan salah sangka ayahandanya terhadap puak Grey. Dia mahu memberitahu ayahandanya tentang apa yang dilihatnya. Sebagai seorang puteri kerajaan itu, dia bertekad mahu menjalankan tanggungjawabnya. Namun persoalannya bagaimana dia perlu bermula?

Tapi pada malam itu, Viktoria hanya mahu berehat dan tidur. Dan di dalam tidurnya, dia bermimpi bertemu kembali dengan Katalina yang menghulurkan tangannya dengan senyuman yang sangat manis. 

Katalina.

5 comments: