Wednesday 10 February 2016

The Runaway Princess : Bab 4

Katalina


Sebelum subuh lagi, dia membuka matanya perlahan-lahan lalu bangkit dari pembaringan. Dia kemudian menoleh ke sebelah kanan melihat adik lelakinya sedang berdengkur kecil. Seulas senyuman nipis terukir di bibirnya sebelum dia bangun dan berjalan ke arah pintu bilik. Dia kemudian keluar dari rumah kecilnya lalu berlalu menuju ke bilik air yang terletak di belakang rumah itu lalu membasuh muka dan membasahkan rambutnya. Dia berkumur dan memberus gigi sebelum kembali masuk ke rumah dan menukar pakaian tidurnya. Dia menyarungkan pakaian hariannya dengan seluar kerana dia lebih selesa bergerak di dalam hutan. 

"Katalina?" Satu suara menyapa lalu dia menoleh melihat sesusuk tubuh seorang lelaki dewasa berkumis tebal berdiri di belakangnya. "Kau nak ke mana?"

"Nak ke sungai. Marcus cakap nak makan ikan semalam. Saya nak tangkap ikan." Jawabnya.

"Jangan terlalu dekat dengan kawasan bandar dan jangan menyeberangi sungai. Ayah tak mahu tentera diraja nampak kamu."

Katalina merengus. "Saya cuma nak tangkap ikan, ayah. Saya takkan bertindak bodoh."

Ayahnya mengangguk memberi kebenaran dalam diam walaupun hatinya sedikit risau kerana anak gadisnya itu hendak ke sungai. Dia sudah tidak mampu hendak melarang Katalina yang sudah hampir dewasa, sudah berusia 17 tahun itu. Di seberang sungai itu terletaknya bandar utama kerajaan Grandolia yang dikenali sebagai Gold City yang didiami oleh orang-orang kaya, golongan bangsawan dan orang-orang yang berkhidmat dengan kerajaan. Rakyat biasa yang rata-rata bekerja sebagai petani, pemburu dan buruh kasar hanya mampu tinggal di kampung-kampung di pinggir bandar. Raja Nathan seperti membina tembok kasta ekonomi di kalangan rakyat-rakyat Grandolia. Rakyat biasa tidak dibenarkan memiliki rumah di dalam Gold City. Catuan harta dan makanan diadakan di segenap pelusuk kerajaan dan rakyat jelata hanya mampu hidup dengan bercucuk tanam dan berburu di hutan.

Katalina mengangkat sekeping papan di lantai rumahnya yang membentuk sebuah ruang kosong di dalam lantai lalu mengeluarkan sebilah pisau perak. Dia menyelitkan pisau itu di pinggangnya sebelum mengucup dahi Marcus yang masih lena di dalam bilik.

"Saya pergi dulu." Ucapnya kepada ayahnya yang sedang duduk di ruang hadapan lalu keluar dari rumah dan mencapai sebilah tombak yang dibuat dari kayu yang tajam dan sebuah busur bersama-sama beberapa anak panah yang diukir dari kayu dari pokok-pokok hutan. Tinggal di dalam hutan membuatkan dia mempunyai banyak kemahiran. Dia hendak berburu pagi itu.

Katalina berjalan perlahan-lahan meredah hutan belantara dan hanya berpandukan cahaya matahari yang semakin terbit dari sebelah timur, dia mengambil masa kurang lima belas minit untuk sampai di pinggir sungai Jarnia, sungai terbesar dan terpanjang dalam kerajaan itu. Menurut ayahnya, sungai itulah yang memisahkan rakyat Grandolia dengan golongan pemerintah. 

Dia tunduk dan mengintai dari sebalik pokok-pokok yang tumbuh di tebing sungai dan mengamati seberang sana dengan hati-hati. Dia tidak mahu terserempak dengan tentera kerajaan yang selalu meronda di kawasan itu. Setelah memastikan tiada sesiapa di kawasan itu, dia menyangkutkan busurnya di atas dahan lalu turun ke gigi air perlahan-lahan. 
***


Viktoria

"Kau biar betul?" Viktoria menyoal Craig seperti tidak percaya. Baru semalam lelaki itu berjanji hendak menemaninya menyeberangi sungai Jarnia, tapi pagi ini katanya dia perlu turun ke arena untuk berjumpa dengan Jeneral Ilyas. Craig memberitahu peristiwa malam semalam bersama dengan jeneral itu dan walaupun dia berasa kesal kerana tidak dapat menemani Viktoria.

"Tapi kau bukannya tentera. Kenapa dia panggil kau turun ke arena?"

Craig menjongket bahu tanda kurang pasti walaupun kata-kata Jeneral itu bermain di fikirannya semalam.

Viktoria menarik nafasnya. "Kalau gitu, biar aku pergi sendiri."

Craig membulatkan matanya lalu segera mencengkam lengan Viktoria. "Kau jangan merepek. Takkanlah kau nak ke sana seorang diri? Kalau kau terserempak dengan puak Grey di seberang sana macam mana? Batalkan saja misi kau hari ni."

Viktoria pantas menepis tangan lelaki itu. "Kalau kau tak dapat ikut aku, aku takkan paksa kau. Tapi jangan kau halang apa yang aku nak buat. Kau pun tahu kan dalam masa dua minggu lagi, aku perlu memilih calon suami dan pada masa tu, aku dah tak ada kebebasan lagi. Aku hanya akan jadi puteri ketiga kerajaan Grandolia. Aku akan jadi seperti Kak Vanessa." Bentaknya dengan garang membuatkan lelaki itu melepaskan cengkamannya.

Viktoria mengeluarkan Black dari kandang lalu segera memanjat ke belakang kuda itu. Pagi itu dia tidak mengenakan dress labuh sebaliknya hanya memakai pakaian biasa yang selalu dipakai oleh rakyat jelata. Dia juga tidak mahu dikenali sebagai puteri raja apabila keluar kerana khuatir akan keselamatannya.

"Nanti, Viktoria!" Craig memanggil. "Aku ikut kau." Dia segera mengeluarkan seekor kuda coklat yang menjadi kuda kegemarannya lalu mengekori puteri itu yang telah mula keluar melalui gerbang belakang istana. Viktoria telah merasuah beberapa pengawal yang menjaga gerbang belakang supaya merahsiakan hal tentang dia dan Craig yang selalu menyelinap keluar dari istana.

"Macam mana dengan Jeneral Ilyas?" Viktoria menyoal sebaik sahaja mereka keluar dari kawasan istana.

Craig menarik nafas panjang. "Aku mungkin akan dihukum oleh dia sebab engkar dengan arahannya. Tapi, aku tak mahu kau dapat susah kalau kau keluar serorang diri. Kau... kau tu seorang puteri." 

Viktoria menarik senyum panjang walaupun dalam hatinya terasa sedikit bersalah. Dia menarik tali pelana Black lalu kuda itu berlari kencang masuk ke dalam hutan sehingga mereka tiba di tebing sebatang sungai. 

"Inikah sungai Jarnia?" Viktoria menyoal seraya melompat turun dari kuda. Dia menambat Black di sebatang pokok sebelum berjalan perlahan-lahan ke tepi sungai.

"Kau belum pernah sampai ke sini?" Craig bertanya. Dia juga turun dari kudanya dan menyertai Viktoria di tepi sungai. 

Viktoria menggeleng. "Ayahanda pernah beritahu aku yang sungai Jarnia ni dikenali sebagai sungai berdarah. Banyak peperangan berlaku di sini satu ketika dulu. Sungai ni digunakan sebagai sempadan untuk kerajaan musuh masuk ke tempat kita."

"Sekarang ni, puak Grey pula yang bermusuh dengan kita."

Viktoria menoleh memandang sahabatnya itu. "Kenapa ayahanda tak mahu berdamai dengan mereka?"

"Mereka ni kumpulan pemberontak. Mereka akan cuba menyerang kerajaan untuk merampas takhta. Siapa lagi yang akan pertahankan kerajaan kita, kalau bukan kita sendiri. Kau pun tahu kan, dulu mereka pernah berpakat dengan kerajaan Grondur untuk serang kita, tapi lepas tuanku berdamai dengan raja Grondur, puak Grey masih tak mahu menyerah kalah dan terus masuk bersembunyi di dalam hutan. Kita tak boleh percaya pada sesiapa saja dalam kerajaan ni sebab sesiapa saja boleh bersekutu dengan puak Grey untuk menjatuhkan kerajaan kita."

Viktoria mengangguk tanda faham namun matanya merenung jauh ke seberang sungai Jarnia yang luas itu.

Craig menarik nafas panjang. "Okey, sekarang mari kita balik. Kau pun dah tengok sungai ni dari dekat, kan?"

Viktoria menoleh memandang ke arah lelaki itu. "Apa kau cakap ni? Kita masih belum menyeberangi sungai ni lagi."

"Jangan jadi bodoh, Viktoria. Takkanlah kau terfikir kita nak seberang sungai ni. Kau tahu di sana ada kumpulan pemberontak dan kita tak tahu kedalaman sungai ni." Craig seperti tidak percaya pada puteri itu. Baginya keberanian seorang perempuan haruslah ada hadnya.

Viktoria menjelingnya tajam. Dia memang seorang puteri yang sangat keras kepala lalu tanpa mempedulikan amaran lelaki itu, dia masuk ke dalam air sungai yang kelihatan jernih itu. Dia kagum kerana dapat melihat batu-batu kecil dan pasir di dasar sungai dan dia yakin yang dia dapat menyeberangi sungai Jarnia dengan selamat.

"VIKTORIA! Naiklah ke sini. Tuanku akan hukum kita nanti!" Craig memanggil namanya dengan nada yang cemas.

"Aku pergi sekejap saja. Kau tunggu aku di sini." Dia melaung sambil meranduk air sungai yang hanya separas pinggangnya sahaja itu. Kejernihan dan kedinginan air itu masih memukau dirinya.

Sebelum aku berkahwin, biarlah sekali aku mencabar diri melakukan perkara yang aku mahu. Kebebasan aku akan tertutup selepas ini dan aku akan terikat dengan kerajaan Grandolia dan bakal suamiku selamanya.

Viktoria berenang-renang di dalam air itu dan dia kini sudah tiba di tengah-tengah sungai. Hatinya menjerit riang dan dia amat berpuas hati. Dia mahu segera sampai ke seberang dan menikmati kebebasan itu walaupun hanya untuk seketika.

Tanpa diduga, dia merasakan sungai itu semakin dalam dan aliran air semakin laju. Dia cuba berenang ke tepi namun usahanya gagal kerana secara tiba-tiba aliran air sungai itu menjadi laju dan berombak. Dia mula panik dan tenggelam sedikit demi sedikit. Viktoria sempat memandang ke tebing melihat Craig yang juga kelihatan cemas.

"Craig!" Viktoria melaung dan menggapai-gapaikan tangannya. Namun, air sungai yang laju itu membuatkan dia tidak berdaya dan badannya mula dibawa arus. Dia sedar yang dia mungkin akan lemas jika dia tidak berjaya berenang ke tebing sungai. Sekali pandang, dia melihat Craig sedang berlari mengejarnya dari tepi sungai. Viktoria semakin panik dan dengan kudratnya itu, dia tidak dapat melawan arus sungai yang deras dan dirinya dibawa arus semakin menjauh dari tebing. 

Adakah aku akan mati? Tapi aku masih belum mencapai apa yang aku inginkan. Adakah kematian aku akan membebaskan aku dari Grandolia dan tanggungjawab sebagai seorang puteri?

Viktoria menyedut nafasnya dalam-dalam kerana dia tahu dia semakin lemah dan semakin tenggelam. Selepas ini, Craig pasti akan melaporkan tentang dirinya yang lemas dibawa arus sungai sungai berdarah itu. Mayatnya mungkin akan ditemui tersangkut di tepi sungai ataupun dibawa terus ke laut. Ayahandanya pasti akan sedih dan kakak-kakaknya akan menangis. Viktor juga akan menangis. Dan Craig juga pasti akan dihukum.

Maafkan aku!

Viktoria tenggelam dan semakin kekurangan oksigen kerana air sungai sudah mula masuk ke dalam hidung dan kerongkongnya. 

"Pegang aku!" Namun sebelum dia tidak sedarkan diri, dia berasa tubuhnya dirangkul dan dipeluk oleh seseorang. Dia membuka matanya untuk seketika hanya untuk melihat sepasang mata berwarna biru kehijauan sedang memandang ke arahnya sebelum dia terus menutup mata tidak sedarkan diri.

No comments:

Post a Comment