Saturday 6 February 2016

The Runaway Princess : Bab 1

"Apa yang kau mahukan?"
"Hanyalah kebebasan."
"Jika begitu kau harus bersedia untuk berperang."


Viktoria

Matahari semakin berganjak ke ufuk barat. Dari kejauhan, kelihatan seekor kuda hitam berlari sekencang angin membelakangi sang suria yang sudah mula hendak beradu. Di atasnya, seorang gadis muda berambut hitam yang panjang sedang menunggangnya. Sekali-sekala dia menjerit kecil memberi arahan kepada kuda hitamnya supaya memecut lebih laju.
Matanya memandang ke arah sebuah bangunan berupa bentuk istana yang tersergam tidak jauh dari situ. Dia memecut laju lalu menuju ke pintu gerbang yang besar lalu masuk ke dalam kawasan istana. Gadis itu menarik tali pelana lalu kuda itu berhenti betul-betul di hadapan seorang gadis lain yang sedang bercekak pinggang.
"Berapa kali kakak nak cakap? Ayahanda tak suka kau keluar dari kawasan istana! Kau berani lawan cakap ayahanda?" Tempiknya dengan wajah yang masam mencuka.
Gadis berambut hitam itu terus terjun dari kudanya sebelum menyerahkan kudanya kepada seorang pengawal di istana. Dia mengisyaratkan supaya kudanya dihantar semula di kandang.
"Kalau tak ada sesiapa bagitahu ayahanda, dia takkan tahu kan, kak Veronika?" Gadis itu tersenyum dengan tenang.
"Kau jangan degil Viktoria. Di luar banyak musuh kerajaan kita. Kalau musuh tahu kau tu salah seorang puteri kerajaan Grandolia, mungkin ada orang akan culik kau."

"Jangan risau. Saya cuma keluar berburu bersama Craig."

Veronika membulatkan mata ke arah adiknya itu. "Kau keluar dengan anak orang gaji? Kau gila? Ayahanda akan mengamuk kalau tahu kau berkawan rapat dengan dia."
"Mana ayahanda?" Viktoria menyoal cuba mengubah topik sebelum kakaknya membebel lagi. Dia berjalan laju menuju ke pintu istana dan terhenti apabila seorang budak lelaki berusia 10 tahun meluru ke arahnya.
"Kakak! Kenapa tak ajak saya sekali tunggang Black?" Budak lelaki itu merengek.

Viktoria tersenyum lalu menggosok-gosok rambut perang adik lelakinya iaitu satu-satunya putera dalam keluarga diraja Grandolia. Semua orang di istana tahu betapa sayangnya Viktoria terhadap putera itu.
"Viktor, kalau ayahanda tahu kakak bawa putera kesayangan dia keluar dari istana ayahanda akan hukum kita, sayang. Kakak dah biasa tapi kakak tak nak kamu pun dihukum."
Veronika yang berada di belakangnya mencebik.
"Tapi ayahanda takkan hukum saya." Viktor menjawab dengan lantang.
Viktoria ketawa. "Sebab kamu bakal raja kita. Keselamatan kamu lebih penting dan utama untuk ayahanda." Katanya lalu terus berjalan masuk ke istana selepas mengetuk-ngetuk but yang dipakai di muka pintu. Dia kemudian menarik-narik gaun biru royalnya supaya lebih kemas dan rambutnya disisir supaya kelihatan cantik. Sebagai seorang puteri diraja, dia mahu kelihatan kemas dan anggun sepanjang masa. Namun itu tidak menghalangnya dari melakukan aktiviti lasak seperti menunggang kuda, berjalan dalam hutan atau berlatih bermain pedang. Viktoria juga gemar membaca jika ada masa lapang. Berbeza dengan Viktoria, Veronika lebih gemarkan aktiviti seperti menjahit, menari dan melukis. Tiada siapa pun yang boleh menandingi bakat melukis puteri itu. Mereka berdua hanya beza umur sebanyak 2 tahun saja.
"Bersiap sekarang! Malam ni Kak Vannessa akan makan di istana bersama suaminya." Veronika mengarah kedua-dua adiknya membuatkan mereka berkalih.
"Vannessa ada di sini?" Viktoria bertanya dengan dahi yang berkerut. Bukan dia tidak suka kakak sulungnya itu pulang, tapi dia kurang gemar dengan suami kakaknya itu. Lelaki itu bernama Thomas, putera ketiga kerajaan Anatolia yang terletak di sebelah selatan. Sudah tentu ayahandanya mahu Vannessa berkahwin dengan putera sulung kerajaan itu pada mulanya, tapi malangnya putera itu berkahwin dengan pilihan hatinya sendiri. Ayahandanya terpaksa bersetuju dengan berat hati apabila Thomas yang bersetuju untuk berkahwin dengan Vannessa. Perkahwinan ini perlu diteruskan demi menjaga perhubungan diplomatik di antara dua kerajaan ini.

"Dia sudah balik ke istana. Lebih baik kau pergi bersiap. Badan kau ada bau kuda." Veronika menutup hidungnya dengan tangan lalu mengerutkan wajah membuatkan Viktoria tergelak. Kadang-kadang dia merasakan kakaknya itu lebih gemar berdrama.

"Saya nak jumpa Craig kejap." Viktoria berkata seraya menggosok-gosok kepala Viktor lalu bergegas laju menuju ke arah kandang kuda yang terletak di bahagian belakang istana. Laungan kakaknya itu tidak dihiraukan dan dia tersengih melihat Craig sedang memberi makan seekor kuda istana.

"Craig!" Dia memanggil lalu lelaki berambut coklat keperangan itu menoleh. Tubuhnya yang sasa dan tinggi lampai membuatkan dia kelihatan agak kacak dan gagah. Craig pernah meluahkan hasratnya hendak menyertai pasukan tentera kerajaan itu namun ditentang hebat ibunya yang juga salah seorang kakitangan istana. Akhirnya, Craig hanya bekerja di kandang kuda diraja namun Viktoria tahu bahawa lelaki itu selalu mencuri-curi lihat tempat latihan tentera yang hanya terletak bersebelahan dengan kandang kuda itu dan berlatih pedang sendirian.
"Kenapa?" 
"Aku lupa nak beritahu kau yang esok aku nak ajak kau melintasi sungai Jarnia di selatan."
Raut wajah Craig berubah. "Kau pasti nak ke sana? Kau tahu kan disebalik sungai tu ada perkampungan  orang-orang Grey?"
Persahabatan mereka yang akrab ini menyebabkan Viktoria mengabaikan status dirinya sebagai tuan puteri. "Mereka tu rakyat Grandolia." Viktoria berkata.
Craig menghela nafas. "Mereka juga penentang kerajaan dan kau tu ialah seorang Puteri."
Viktoria menarik muka masam. "Aku tak faham kenapa Ayahanda perlu bermusuhan dengan puak Grey. Kalau kita berdamai, lebih baik kan."
Craig mengusap kuda di hadapannya lalu tersenyum. "Kau dan Tuanku memang selalu tak sebulu. Aku tak mahu tanggung risiko bawa tuan Puteri Grandolia ke kawasan penentang kerajaan. Keluar bersama kau dari kawasan istana ni pun dah cukup berisiko. Aku boleh dihukum kalau Tuanku tahu."
Viktoria ketawa. "Jangan risaulah. Ingat tau, esok!"
Craig kelihatan teragak-agak.
"Jangan berani lawan kata-kataku. Aku Puteri raja, tahu!" Viktoria ketawa namun bernada tegas.
"Baiklah tuan Puteri."
Viktoria tertawa kecil. Dia lebih menyenangi lelaki itu daripada sesiapa pun di dalam istana. Kadang-kadang dia sedar yang dia seperti sedang mempergunakan lelaki itu bagi memenuhi kehendaknya. Tapi apakan daya. Dia ialah seorang Puteri yang menggemari cabaran dan hendak meneroka dunia.
"Kak Vanessa dah balik bersama suaminya. Aku perlu bersiap-siap untuk makan malam. Jumpa pagi esok." Ucap Viktoria lalu bergegas kembali ke kamarnya untuk bersiap kerana dia tidak mahu terlambat. 
****
Malam itu Viktoria mengenakan dress labuh berwarna kuning cair yang menyerlahkan warna rambut hitamnya. Di kalangan adik-beradiknya, hanya dia saja yang mempunyai rambut berwana hitam mengikut warna rambut bonda mereka yang telah meninggal dunia semasa melahirkan Viktor. Vannessa, Veronika dan Viktor pula mempunyai rambut keperangan mengikut warna rambut ayahanda mereka.
Viktoria melangkah ke dewan makan diraja perlahan-lahan dengan langkah yang tertib.
"Puteri Viktoria Annalise Grandolia dah tiba." Ketua butler istana mengumumkan ketibaanya sebelum dia melangkah masuk ke dewan makan diraja itu. Matanya tertancap pada meja berbentuk bujur di tengah-tengah dewan dan dia mendapati semua adik-beradiknya berada di meja makan. Raja Nathan Grandolia berada di kerusi utama hanya tunduk memandang makanan di hadapannya.
"Ayahanda.. maaf anakanda terlambat." Katanya lalu berjalan ke tempat duduknya di sebelah Veronika. Viktor ditempatkan paling berdekatan dengan kerusi utama memandangkan putera kecil itu bakal mewarisi takhta diraja itu. Di sebelahnya ialah Veronika dan seterusnya ialah Viktoria.
Raja Nathan berdehem kecil. "Kamu masih belum ucap salam kepada kakak dan abang ipar kamu." Baginda menegur sebelum sempat Viktoria melabuhkan punggung.
Viktoria mengerling ke arah Puteri Vannessa yang duduk berhadapannya dan suaminya, Thomas yang duduk di sebelahnya. Dia kemudian tunduk sedikit tanda hormat. "Kak Vannessa, Lord Thomas, apa khabar?"
Vannessa sekadar mengangguk tanpa senyum. Entah sejak bila hubungan mereka menjadi renggang agaknya? Mungkin sejak Viktoria mula memberi nasihat supaya kakaknya itu mempertimbangkan semula keputusannya untuk mengahwini Thomas beberapa bulan lalu. Sedangkan dahulu hubungan mereka sangat akrab bagai isi dengan kuku.
Mereka mula menjamah makanan yang dihidang oleh lima orang gaji tanpa banyak cakap. Hanya Viktor sekali sekala petah memberitahu tentang kelas pedangnya.
Selesai bersantap, Raja Nathan mula berkata. "Dua minggu lagi kita akan adakan majlis tari-menari."
Semua mata memandang ke arah raja itu dengan penuh tanda tanya. Mengapa tiba-tiba mahu mengadakan majlis tari-menari di istana? Setahu Viktoria, semenjak kematian Permaisuri Arya ayahandanya seperti tawar hati hendak mengadakan majlis keraian di istana. Lagipun sebelum ini, bonda permaisurinya itulah yang menguruskan semua upacara di istana.
"Ayahanda akan memilih calon suami untuk Veronika dan Viktoria." Sambung raja itu lagi.
Hampir tersedak Viktoria apabila mendengar namanya disebut. "Untuk anakanda juga?" Dia bertanya.
"Ya untuk kamu juga. Kamu cuma beza 2 tahun dari kakakmu dan usia kamu juga dah menjangkau 16 tahun. Dah tiba masanya kamu berdua diperkenalkan dan mencari calon suami dari keturunan yang baik."
Viktoria mula mengeluh. "Tapi anakanda masih belum bersedia, ayahanda. Tak bolehkah anakanda cari pilihan hati anakanda sendiri?" Dan anakanda masih muda!
Raja itu memandang ke arah Viktoria dengan tajam. "Kamu dah berkenan pada mana-mana putera atau keluarga bangsawan?"
Viktoria menggeleng. " Tapi anakanda harap dapat cari pilihan hati anakanda sendiri." Katanya dengan hati yang kurang senang. Dalam keluarga diraja itu, hanya dia seorang saja yang berani membuka mulut membantah ata-kata ayahandanya walaupun dia tahu yang dia mungkin akan menanggung akibatnya jika raja itu berang.
"Jangan mengarut! Kamu boleh pilih calon suami kamu dalan majlis tu nanti dikalangan putera dan anak keluarga bangsawan." Ayahandanya berkata dengan tegas mematikan setiap bantahan.
Wajah Viktoria mula berkerut. Kesemua mata di meja makan itu kini memandang tepat ke wajahnya.
"Majlis tu tetap akan diadakan dan kamu tetap akan dijodohkan tak kira samada kamu suka atau tidak!"

No comments:

Post a Comment