Wednesday 10 February 2016

The Runaway Princess : Bab 3

Craig

Craig selalu melarikan matanya apabila dia ditenung oleh Viktoria. Dia benar-benar malu dengan puteri ketiga negara itu, bukanlah sebab dia ialah seorang puteri raja. Namun, layanan Viktoria terhadapnya adalah sangat berbeza. Mungkin disebabkan mereka bersahabat baik sejak kecil membuatkan Viktoria terlalu rapat dan bergantung kepadanya. 

Craig masih ingat lagi saat pertama dia bertemu dengan Viktoria. Umurnya masih muda dalam lingkungan 6 tahun apabila dia mula dibawa masuk ke dalam istana. Bapanya yang merupakan seorang kaki botol dan kaki judi telah menjual ibunya untuk dijadikan sebagai hamba di dalam istana. Dia masih ingat pandangan mata seorang lelaki yang merupakan salah seorang penjaga hamba di dalam istana merenung ibunya dengan pandangan yang penuh bernafsu. Walaupun kurang mengerti, dia tahu yang lelaki itu berniat buruk terhadap ibunya.

"Tolong benarkan anak saya bersama saya. Jangan pisahkan kami. Tolonglah tuan-" Ibunya pada ketika itu merayu sehingga sanggup melutut di tanah.

Pada mulanya, Craig juga menyangkakan yang dia tidak dibenarkan masuk ke istana bersama ibunya dan akan merempat di jalanan. Dia tahu sebaik sahaja budak seusianya dibiarkan merempat di jalan, dia tidak akan hidup lama akibat tiada makanan dan kesejukan malam. Craig menggenggam tangan ibunya dengan rasa takut.

"Siapa ni?" Suara seseorang menyapa membuatkan mereka semua menoleh. Seorang gadis kecil sedang berdiri di belakang penjaga hamba itu sambil tersenyum. Craig terpaku memandang gadis comel berwajah bulat, berkulit cerah yang kelihatan lembut dengan rambut hitam dan bibir kecil yang merah merekah. Barangkali dia ialah gadis tercomel yang pernah dilihatnya setakat ini. Wajah Craig mula merona merah.

"Tuan puteri tak boleh berada di sini." Ucap penjaga hamba itu kelam kabut. 

Dia mengerling ke arah beberapa lelaki yang berdiri tidak jauh dari mereka yang juga akan dijual ke istana untuk dijadikan hamba. Sebenarnya, bukan mudah untuk bekerja di dalam istana. Beberapa agen yang bertapak di bandar akan memilih lelaki atau perempuan yang kelihatan kuat dan bertenaga untuk dibawa ke istana dan dari situ, mereka akan dipilih dengan teliti oleh penjaga hamba di istana. Jika ditolak, mereka akan dijual di tempat-tempat lain pula seperti di rumah pelacuran atau rumah-rumah golongan bangsawan dan sebagainya. 

"Di mana pengasuh tuan puteri?" 

Tuan puteri?

Gadis kecil yang dipanggil tuan puteri itu tidak menghiraukan penjaga hamba itu lalu menapak laju ke arah Craig. "Siapa nama kau?" Terpacul soalan itu dari bibir kecil gadis itu.

"Craig." Craig menjawab ringkas.

"Namaku Viktoria. Nak main sama-sama tak?" Gadis itu ramah bertanya sambil tersenyum membuatkan Craig mengangguk walaupun teragak-agak. Dia mengerling sejenak ke arah ibunya yang juga kelihatan takut-takut itu.

Viktoria mendongak memandang tepat ke wajah penjaga hamba itu. "Sila benarkan Craig tinggal di sini." Katanya dengan lembut walaupun sebenarnya ianya adalah satu arahan. Dan dengan ayat itulah, Craig dan ibunya diambil bekerja di dalam istana dan bermula saat itulah, mereka mula bersahabat baik sehingga ke hari ini.

"Viktoria..." Craig menyebut nama tuan puteri itu. Dia tersenyum sedikit sebelum menggeleng-gelengkan kepalanya setelah hanyut di dalam kenangan kali pertama dia bertemu dengan Viktoria. Dia bangkit dan keluar dari kandang kuda itu dengan wajah yang sedikit lesu. Fikirannya memikirkan bahawa Viktoria akan memilih calon suami di dalam majlis tari-menari tidak lama lagi.

Aku memang tidak layak untuk dirimu.

Craig berjalan ke arena latihan tentera yang terletak tidak jauh dari kandang kuda. Malam sudah semakin larut namun dia tidak pula rasa mengantuk. Matanya tertancap pada setor simpanan senjata dan baju perisai, lalu dia berjengket ke bangunan itu. Bukan sekali dua dia menceroboh masuk ke dalam setor itu dan mengambil keluar pedang tentera di dalamnya. 

Dia berdiri tegak di tengah-tengah arena dengan sebilah pedang di tangannya. Mujur malam itu gelap tidak berbintang, dan dia tahu pengawal istana hanya akan datang meronda ke kawasan itu dalam masa sejam lagi. Dia mula menghayun-hayunkan pedang itu mengikut arah lawan jam dan bergerak secara berpusing-pusing di tengah-tengah arena.

Alangkah bagusnya kalau aku boleh menjadi tentera istana. Sekurang-kurangnya aku ada pangkat dan dihormarti dan bukanlah sekadar hamba di dalam istana yang cuma memberi makan kuda.

Craig membelah angin malam dengan gerakannya dan badan sasanya kelihatan tegap disapa angin malam. Peluh keringat mengalir di pipinya dan jauh di sudut hatinya dia berasa kesal. Mengapa dia dilahirkan di dalam golongan rakyat biasa? Mengapa dia tidak boleh menjadi anggota tentera sedangkan dia tahu dia lebih kuat dari sebahagian daripada tentera istana yang datang berlatih di arena. Dia tahu kerana dia selalu mencuri-curi pandang ke arah mereka. Dia juga tahu kerana setiap hari, dia terpaksa mengutip dan membersihkan perisai dan pedang yang disimpan di dalam setor. Dia tahu yang dia sebenarnya lebih layak berada di arena perang berbanding di kandang kuda. 

Hati kecilnya menjerit tidak berpuas hati. Dia juga mahu bebas melakukan apa yang dia ingini. Walaupun dia tahu yang dia tidak mungkin memiliki Viktoria selamanya.

Pedangnya dihayun dengan laju namun langkahnya segera terhenti apabila terpandang sesusuk tubuh manusia di dalam kegelapan sedang berdiri memandang ke arahnya di tepi arena. Darah segera menyirap ke wajahnya lalu dia pantas berdiri tegak dan mencampakkan pedang di atas tanah.

"Tu... tuan jeneral." Dia berkata tergagap-gagap. Habislah aku! Jeneral dah nampak aku!

Jeneral tentera yang merupakan ketua tentera diraja berjalan ke arahnya dengan tenang. Craig mengagumi lelaki yang berusia 30-an itu kerana dalam usia yang muda, dia berjaya mengepalai tentera diraja tanpa gentar. Malah, dia ialah jeneral perang termuda di dalam sejarah Grandolia. 

Jeneral Ilyas mengutip pedang yang tercampak di atas tanah itu lalu menghulurkannya kepada Craig dengan wajah yang serius. "Seorang tentera tidak akan mencampakkan pedangnya sesuka hati ke atas tanah. Dia akan menjaga pedangnya seperti menjaga kehormatan dirinya."

Craig menyambut pedang itu lalu memberi tunduk hormat. "Maafkan saya tuan. Saya akan simpan pedang ni semula."

"Nanti dulu!" Jeneral itu memanggil. 

Craig membatu dan memandang tepat ke wajah lelaki di hadapannya itu. Matanya tertancap lama ke tangan lelaki itu dan dia sendiri tidak tahu entah berapa banyak nyawa melayang apabila Jeneral itu menghayunkan pedangnya di medan perang. Grandolia pernah berperang dengan beberapa buah kerajaan suatu ketika dulu sebelum Raja Nathan mula mengambil langkah menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara seterunya melalui perdagangan dan perkahwinan diraja. Namun sekarang, pedang dihayunkan untuk menjaga keamanan Grandolia dan istana diraja dari serangan puak penentang.

"Dari mana kau belajar main pedang macam tu?" 

Wajah Craig merona merah. Dia malu kerana dia sedar yang jeneral itu sudah lama memerhatikannya dalam gelap. Sudah pastilah dia tidak pernah mendapat latihan yang khusus. "Saya... saya cuma perhati semasa tentera berlatih, tuan."

"Kau cuma perhati dan berlatih sendirian?"

Craig mengangguk.

"Kau nak jadi tentera?"

Craig terdiam.

"Jawab pertanyaanku!" Suara jeneral seperti halilintar membuatkan Craig mengangguk perlahan-lahan. Hatinya sedikit kecut namun cuba disembunyikan.

"Tapi saya tidak layak, tuan! Saya hanyalah hamba dalam istana."

"Siapa nama kau?"

"Nama saya Craig."

Jeneral itu terbatuk sedikit. "Simpan pedang tu dan berehatlah."

Craig mengangguk dan memberi tunduk hormat sebelum berpusing hendak menyimpan kembali pedang itu ke dalam setor simpanan. Namun telinganya menangkap kata-kata terakhir dari Jeneral Ilyas.

"Subuh esok, kembali ke arena ni sebagai tentera Grandolia."

Craig merenung jeneral itu dengan rasa tidak percaya. Matanya merenung ke arah kelibat jeneral itu yang kembali beransur keluar dari arena. 

"Terima kasih, tuan!" Ucap Craig dengan hati yang gembira.

Subuh esok? 

Hatinya terlalu gembira sehingga dia terlupa yang dia berjanji dengan Viktoria hendak menyeberangi sungai Jarnia keesokan harinya.

No comments:

Post a Comment