Wednesday 10 February 2016

The Runaway Princess : Bab 5


Viktoria

Senyuman Permaisuri Arya kelihatan manis sekali dan amat mendamaikan. Viktoria melabuhkan kepala ke atas riba bondanya dan membiarkan permaisuri itu membelai rambut hitamnya dengan lembut. Viktoria tersenyum sendiri apabila bondanya itu tunduk dan mengucup pipinya dengan penuh kasih sayang.

"Sudah tiba masa untuk beradu, puteriku yang cantik." bisik Permaisuri Arya.

"Bonda, bacakan anakanda sebuah cerita." Pinta Viktoria.

"Cinderella? Snow White?" 

Viktoria mencebik. "Bosanlah cerita macam tu. Bacakan pada anakanda cerita tentang seorang pahlawan."

Permaisuri Arya memandang ke arah Viktoria dengan rasa kagum. "Mana kamu tahu tentang pahlawan?"

"Craig selalu cakap dia nak jadi pahlawan kerajaan Grandolia. Dia kata bila besar nanti, dia nak jadi seorang tentera yang berani."

"Kalau begitu, bonda akan bercerita tentang seorang puteri pahlawan yang berani."

Viktoria mengangkat kepala dari riba bondanya lalu bertanya, "Bolehkah seorang puteri jadi pahlawan? Ayahanda selalu kata seorang puteri mesti menjaga diri dengan baik, bersopan santun dan belajar selok-belok menguruskan istana seperti bonda supaya senang bila berkahwin nanti."

"Ayahanda cakap begitu?"

Viktoria mengangguk. 

Namun seketika kemudian, Permaisuri Arya mengukir senyum. "Jadilah seperti apa yang kamu impikan, anakku. Jangan biarkan orang lain menentukan hidupmu dan carilah kebahagian kamu sendiri." Baginda mengusap sekali lagi rambut anaknya walaupun pada masa itu Viktoria masih belum memahami sepenuhnya kata-kata bondanya itu. "Bonda akan bercerita pada kamu nanti, ya. Sekarang kamu perlu beradu sebab dah lewat malam." 

"Tapi bonda-"

"Tidurlah anakku..."

"Bonda... bonda..."

Viktoria mengangkat kepala dan Permaisuri Arya tunduk kembali hendak mengucupnya. Dia membuka mata apabila merasai sesuatu yang lembut dan hangat sedang menyentuh bibirnya. Sebelum dia sedar sepenuhnya, dia merasai hembusan nafas dihembus ke dalam kerongkong lalu membuatkan dia tersedak dan terbatuk. Kini matanya terbuka luas dan dia sedar yang dia sedang terbaring di tanah dan terpandang sepasang mata biru kehijauan yang dilihatnya sebelum dia pengsan di dalam sungai tadi. Viktoria pantas menolak susuk tubuh yang berada amat hampir dengan dirinya itu.

"Kau buat apa ni?" Viktoria menjerit sebelum menyedari yang susuk tubuh itu ialah seorang gadis muda yang kelihatan lebih kurang sebaya dengannya. Baju dan rambut separas bahu gadis itu basah lencun dan dia kelihatan agak comot dengan baju yang berlumuran lumpur. 

Nanti dulu! Perempuan ni cium aku? Siapa dia? Mana Craig?

"Kau ni siapa?" Laju saja Viktoria menyoal gadis itu yang telah mula bangkit berdiri dan mengibas-ngibas baju dan rambutnya.

"Macam tu ke cara kau bercakap dengan orang yang selamatkan kau?" Gadis itu menyoal dan menjeling ke arah Viktoria. 

Viktoria segera teringat yang baru sebentar tadi dia hanyut dibawa arus sungai Jarnia dan dia diselamatkan oleh seseorang. Seseorang itu telah menariknya keluar dari sungai ke tebing. Seseorang itu sedang berusaha menyelamatkan nyawanya dengan memberikan pernafasan dari mulut ke mulut. Viktoria pernah terbaca tentang cara pernafasan dari mulut ke mulut ini di dalam sebuah buku di dalam perpustakaan istana. Nampaknya, gadis di hadapannya ini juga tidak kurang hebat pengetahuannya.

"Kau ni siapa? Macam mana kau boleh lemas dalam sungai ni?" Gadis itu menyoal.

Viktoria bangkit berdiri dengan serta-merta. Kepalanya masih pening dan dia kelihatan terhuyung-hayang dan lemah. Namun, dia tidak mahu tampak lemah di hadapan gadis asing itu. Dia tunduk memandang pakaiannya yang juga basah lencun dan rambutnya yang tidak terurus. Nasib baik hari itu dia tidak mengenakan pakaian yang cantik dan mewah. Dia tidak mahu mendedahkan identitinya dengan cepat kerana dia tidak tahu siapa gadis di hadapannya.

"Aku... aku terjatuh dalam sungai tadi." Viktoria membalas. Dia memandang sekeliling dan mula menyedari yang Craig tidak ada di situ. "Hei, kau ada nampak seorang lelaki bersama aku?"

Gadis itu menggeleng. "Tak nampak sesiapa pun. Kau bersama seseorang?"

Viktoria sekadar mengangguk. "Kawan aku. Aku kena cari dia." Dia mencuri pandang ke arah gadis di hadapannya. Mereka berdua mempunyai ketinggian yang sama, mungkin gadis itu tinggi sedikit darinya. Tubuh gadis itu kurus dan amat cantik. Pakaiannya yang basah melekat di tubuhnya membuatkan badannya kelihatan ramping. Kulitnya sedikit keperangan dan dia mempunyai rambut berwana coklat kemerahan yang tebal dan lebat. Namun yang paling menarik perhatian Viktoria ialah, mata biru kehijauan gadis itu yang kelihatan seperti mutiara yang bersinar-sinar.

"Kenapa pandang aku macam tu?" Gadis itu menyoal.

Viktoria segera melarikan pandangannya dari gadis itu. "Aku ada di mana?" Dia bertanya cuba memastikan kedudukannya.

"Dalam hutan di daerah Freyes." 

"Freyes?" Viktoria membulatkan matanya. "Maksud kau aku ada di kawasan puak Grey? Berapa jauh aku hanyut?"

Gadis asing itu mula memandang kearahnya dengan curiga. "Kau ni dari mana sebenarnya? Di mana kau jatuh tadi sampaikan kau tak tahu di mana kau berada?" 

Viktoria terdiam. Takkan pula dia hendak beritahu yang dia berasal dari istana Grandolia yang terletak di tengah-tengah Gold City? 

"Sudahlah! Lebih baik kau pergi dari sini. Kawasan ni tak selamat untuk kita. Kalau tentera kerajaan nampak kita di sini, mereka akan memanah kita dari jauh."

Viktoria keliru. "Tentera Grandolia takkan buat begitu tanpa sebab."

Bibir gadis asing itu terjungkit. "Pernah ke kau jumpa dengan tentera Grandolia? Mereka tu makhluk yang kejam. Bukan setakat mereka, semua orang yang tinggal di Gold City di seberang sungai sana kejam dan tak berhati perut." Gadis itu mula berjalan menjauhi tebing sungai dan mencapai busur yang disangkut di pangkal dahan sebatang pokok. Dia kelihatan seperti merungut terhadap sesuatu namun fikiran Viktoria masih keliru. Kenapa gadis itu menganggap penduduk Gold City kejam dan tak berhati perut?

"Nanti dulu, aku perlu bantuan kau untuk cari kawan aku." Bisik Viktoria walaupun kini dia sudah pasti yang dia berada di seberang sungai. Dia memerlukan bantuan untuk kembali ke seberang sana tanpa perlu menyeberangi sungai dengan cara berenang lagi.

"Aku dah tolong selamatkan kau tadi, dan disebabkan kaulah aku tak dapat tangkap seekor ikan pun. Aku tak tahu kau ni siapa tapi lebih baik kau balik ke tempat kau."

Viktoria memintas gadis itu sebelum menghulurkan tangan. "Aku Annalise. Pnggil aku Anna" Viktoria memberitahu separuh dari nama penuhnya kepada gadis itu. "Terima kasih sebab selamatkan aku. Aku terhutang budi pada kau."

Gadis itu kelihatan ragu-ragu hendak menyambut tangan Viktoria namun seketika kemudian dia turut menghulurkan tangan untuk berjabat salam. "Namaku Katalina." 

4 comments:

  1. ohh...what going on...ceti tentang puteri pahlawan ?wow...new idea...best.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih di atas komen. Please keep reading and drop your comments.

      Delete
  2. katalina....wah macam pernah dengar nama ni masa zaman kecik2 dulu...citer pahlawan....menarik idea ni...teruskan berkarya....

    ReplyDelete