Thursday 31 March 2016

The Runaway Princess : Bab 11

Viktoria

Malam itu, tangannya terasa sejuk seperti ais dan kakinya menggeletar hebat. Tidak pernah Viktoria menggeletar seperti ini semasa hendak menghadap Raja Nathan di kamarnya. Dia sempat mengintai dari pintu yang diperbuat dari kayu jati yang besar dan berukir cantik dan melihat ayahandanya sedang bersandar di kerusi dengan mata yang terpejam. Dia tahu raja itu hanya berehat untuk seketika sebelum kembali menghadap urusan-urusan kerjanya. Raja Nathan ialah seorang lelaki yang tekun dan berpandangan jauh. Dia akan menghabiskan masanya dengan membaca dan menuntut ilmu. Dia tidak mahu sekadar bertindak semberono tanpa alasan dalam setiap keputusan dan titahnya. Dia tidak mahu kelihatan seperti raja yang bodoh di hadapan penasihat dan menteri-menterinya. Yang paling utama, dia tidak mahu diperbodohkan oleh sesiapa pun dalam kerajaan itu.

"Masuklah Viktoria. Berapa lama lagi anakanda nak berdiri depan pintu itu?" Tegur raja itu membuatkan Viktoria melompat terkejut. Rupa-rupanya baginda memang sedar dia berada di situ sejak tadi lagi. Tangan Viktoria semakin menggeletar dan jantungnya berdetak hebat. Perlahan-lahan dia menolak pintu kayu yang berat itu lalu melangkah masuk menghadap ayahandanya. Dia tunduk tanda hormat sambil cuba mengukir senyuman.

"Ayahanda nampak letih." Tegur Viktoria dengan anda suara yang paling lembut.

Raja Nathan membuka mata lalu membalas senyuman puteri itu. "Musim begini memang ayahanda banyak kerja, anakku. Setiap hari semakin ramai tetamu negara sampai dan ayahanda perlu berjumpa dengan mereka. Mereka perlu dilayan dengan baik dan jika kita bernasib baik, mungkin kamu atau Veronika akan dijodohkan dengan putera-putera mereka."

Dahi Viktoria mula berpeluh apabila mendengar kata-kata ayahandanya itu. Nampaknya raja itu betul-betul berharap anak-anaknya dapat dijodohkan dengan putera kerajaan jiran.

"Kamu sudah bertemu Putera Arthur dari Brittania?" 

Viktoria mengangguk. "Ya ayahanda."

"Kamu dan kakakmu layanlah baginda baik-baik. Brittania ialah sekutu kita yang paling kuat. Ayahanda juga amat suka dengan Putera Arthur tu." 

Viktoria mengangguk lagi. "Baik, ayahanda."

Raja Nathan memandang ke arah anaknya. "Kamu mahu berjumpa ayahanda?" Baginda bertanya. 

Viktoria menyedut nafasnya dalam-dalam. Dia bertekad perlu meluahkan segala-galanya kepada ayahandanya hari itu juga. "Ayahanda.. anakanda mahu bertanya ayahanda tentang... tentang puak Grey."

Wajah raja itu mula berubah. "Kenapa dengan puak Grey?"

"Benarkah ayahanda pernah bertitah yang mereka dihalang dari menyeberang sungai Jarnia? Benarkah ayahanda bertitah supaya tentera kita membunuh puak Grey jika terlihat mereka?"

Raja Nathan merenung ke arah anaknya dengan tajam. "Jika ianya benar, kenapa kamu bertanya begitu pada ayahanda?"

Viktoria menelan air liurnya. "Tapi kenapa ayahanda? Apa salah puak Grey pada Grandolia?"

Raja Nathan mula bangkit dari kerusi. Dia berdehem kecil namun suaranya masih lagi kedengaran mendatar walaupun sudah tidak ada nada kemesraan seperti tadi. "Kamu sudah belajar sejarah bukan? Kamu tahu kan bahawa puak Grey ialah puak pemberontak? Mereka ialah lanun, perompak dan penjenayah. Tidak salah bukan jika kita menghukum mereka?"

"Tapi ayahanda... perang telah lama tamat. Anakanda rasa mereka yang terlibat dengan perang dahulu mungkin sudah tua atau meninggal dunia. Mereka bukanlah pemberontak lagi jika kita memberi mereka taraf kewarganegaraan yang sama seperti rakyat jelata yang lain."

"Kamu mempertikaikan titah ayahanda, Viktoria?" Suara raja itu mula kedengaran dingin seperti ais. Bulu roma Viktoria juga mula menegak menandakan dia mula kesal bertanyakan soalan itu kepada ayahandanya. Namun dia tidak boleh berpatah balik lagi. Dia mahu mendapatkan jawapan dari mulut ayahandanya sendiri.

"Tidak ayahanda, anakanda tak bermaksud begitu. Anakanda cuma rasa tidak adil bagi mereka..."

"APA YANG KAMU TAHU TENTANG KEADILAN??" Raja Nathan mula menengking membuatkan Viktoria diam terkedu. Matanya kelihatan berapi dan tangannya menggenggam penumbuk menahan marah di atas persoalan anaknya itu.

Viktoria juga mula berundur setapak. "Anakanda cuma ingin tahu... Anakanda pernah bertemu dengan mereka, ayahanda."

"Apa?" 

"Semasa anakanda lemas tempoh hari, anakanda diselamatkan oleh salah seorang daripada mereka. Anakanda masuk ke perkampungan mereka dan mereka juga yang membantu anakanda pulang ke seberang sungai." 

Wajah raja itu semakin berubah. Kali ini dia seperti hendak mencekik anaknya itu. "Kamu dah masuk ke perkampungan mereka? Kamu sudah berjumpa mereka?"

Viktoria mengangguk. "Mereka bukan seperti apa yang anakanda sangka selama ini. Mereka tidak ada armada tentera yang besar. Mereka bukannya pemberontak ayahanda. Mereka hanyalah petani, pekebun dan pemburu biasa. Mereka tidak menerima bantuan seperti rakyat jelata kita yang lain. Kenapa kita perlu mendiskriminasikan mereka hanya kerana perkara lampau, ayahanda?"

"Beta tidak sangka anakanda sendiri yang mempersoalkan arahan beta. Jika kamu bukan anakanda beta, beta akan hukum kamu kerana menderhaka. Beta dah mengeluarkan titah, mereka yang bersekutu dengan puak Grey akan dihukum sebagai pengkhianat Grandolia. Sekali mereka mengkhianati beta, sampai mati pun puak itu tetap pengkhianat Grandolia."

Viktoria menelan air liurnya sendiri. 

"Perbualan kita tamat di sini. Jangan kamu berani sebut lagi tentang perkara ini, jika tidak, beta akan penjarakan kamu sebagai pengkhianat. Anak atau tidak, beta tidak peduli. Sekarang, KELUAR!!" Tengking raja itu dan Viktoria tidak tunggu lama lalu terus tunduk dan berlalu keluar dari kamar itu dengan cepat. Dia berjalan laju melalui koridor di luar bilik itu dengan hati yang cukup berdebar-debar. Dia tidak pernah melihat ayahandanya semurka itu dan dia tahu ayahandanya tidak bergurau tentang ingin memenjarakannya jika dia bertanya lagi perkara yang sama.

Kenapa ayahanda begitu benci pada puak Grey?

"Tuan puteri?" Seseorang menegurnya membuatkan dia terlompat. Dia memandang ke arah salah seorang ahli akademik Grandolia yang merupakan pengajarnya di istana iaitu Tuan Graham. "Tuan puteri tak apa-apa? Tuan puteri nampak pucat sekali."

Viktoria menggeleng-geleng sambil tersenyum. "Saya tak apa-apa." Baru saja dia hendak berlalu pergi, dia kembali menoleh memandang guru kegemarannya itu. "Tuan tahu tentang sejarah Grandolia bukan? Bolehkah saya bertanya sesuatu pada tuan?"

Graham mengangguk. Dia ialah seorang lelaki berusia 50-an, berjambang kelabu dan rambut yang sedikit beruban. Wajahnya putih bersih dan senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya. Dia selalu mengenakan jubah biru tua dan selalu kelihatan di koridor istana dengan langkah yang kelam-kabut sambil mengusung buku-buku dan skrol kertas ke sana-ke sini. Dia tidak begitu digemari oleh penasihat-penasihat diraja kerana dia selalu memberi ulasan terhadap segala nasihat-nasihat yang diberikan kepada baginda.

Viktoria mengekori Graham ke dalam sebuah bilik yang dipenuhi buku-buku di sebelah barat istana. Mereka duduk di kerusi dan Graham memberikan segelas teh chamomile kepada puteri itu untuk menenangkan dirinya. 

"Apa yang tuanku nak tahu?"

"Saya nak tahu tentang sejarah Grandolia dengan puak Grey."

Mata tua lelaki itu sedikit terbuntang namun kemudian dia membetulkan duduknya supaya lebih selesa. "Puak Grey pernah menjadi pemberontak kerajaan kita dengan membantu musuh kerajaan masuk ke Grandolia melalui sungai Jarnia dan menyerang kerajaan kita." 

"Saya tahu itu!" Suara Viktoria keras. "Saya nak tahu apa lagi yang berlaku selepas itu? Saya nak tahu apa yang tidak pernah tercatat dalam buku sejarah. Saya nak tahu apa yang menyebabkan ayahanda terlalu membenci mereka sehingga sekarang. Pasti ada sesuatu yang berlaku, sesuatu yang tak tercatat di mana-mana."

Graham terdiam lalu tunduk memandang lantai.

Viktoria memandang gurunya dengan muka yang penuh berharap. "Tolonglah beritahu saya, tuan. Saya tak boleh biarkan ketidakadilan ini berterusan. Saya tak mahu ayahanda terus melakukan perkara yang tak sepatutnya. Saya tak mahu ayahanda dituduh sebagai raja yang zalim oleh puak Grey."

"Tuanku dah berjumpa dengan mereka?" Graham bertanya lalu Viktoria mengangguk perlahan-lahan.

Graham menghela nafasnya berat. "Patik akan mendapat susah jika patik beritahu pada tuanku."

"Saya janji takkan beritahu orang lain." Ucap Viktoria. "Saya cuma hendak tahu."

Graham terangguk-angguk. "Pada satu masa dulu, kerajaan kita mempunyai dua orang putera yang sedang meningkat remaja. Mereka ialah adik-beradik dan berkawan rapat dengan seorang anak yatim yang dibawa masuk ke istana. Budak lelaki itu ditemui oleh seorang orang gaji istana merayau-rayau di pintu belakang istana dan hampir mati kesejukan. Kedua-dua putera itu yang pada masa itu masih kanak-kanak meminta supaya budak itu dibesarkan di istana atas dasar kasihan. Mereka bertiga membesar bersama dan memang rapat bagai isi dengan kuku namun putera pertama iaitu putera mahkota kemudian telah dihalau keluar dari istana lalu meninggalkan putera kedua dengan budak lelaki itu. Setelah meningkat dewasa, putera kedua yang menjadi pewaris kerajaan Grandolia mendapat tahu yang kawan baiknya itulah penyebab abangnya dihalau keluar dari istana. Paling menyedihkan, baginda juga mendapat tahu yang kawan baiknya itu cuba meniduri permaisurinya lalu menghalaunya keluar dari istana."

"Adakah putera kedua itu ialah ayahanda?" Viktoria bertanya.

Graham mengangguk. "Lelaki yang menjadi kawan baik tuanku itu berasal dari puak Grey. Maklumat terakhir yang diterima ialah, lelaki itu lari ke daerah Freyes, membentuk pasukan pemberontak di situ dan berpakat dengan kerajaan musuh Grandolia."

"Jadi, sebab itulah ayahanda begitu memusuhi puak Grey. Ayahanda sebenarnya bermusuh dengan kawan baiknya sendiri..." Viktoria mengomel sendirian. Barulah dia faham keadaan sebenarnya. Dendam peribadi ayahandanya yang membuatkan ayahandanya bertindak begitu. 

"Siapa nama lelaki tu?" Dia bertanya.

"Seingat patik nama keluarganya ialah Levin. Tiada siapa tahu samada dia masih hidup atau tidak."

Viktoria menggaru-garu pipinya lalu bangun berdiri. Walaupun dia mengetahui cerita yang sebenar, dia masih gagal berbuat apa-apa. Tidak mungkin dia dapat memadamkan api dendam yang sudah lama hidup di dalam hati ayahandanya. Selagi perkara ini disulami dendam peribadi, selagi itu puak Grey akan menjadi mangsa walaupun hakikatnya, yang bersalah hanyalah seorang. Apa yang patut dilakukan, dia juga tidak tahu. Tidak mungkin dia dapat mencari di mana Levin berada sekarang.

"Tuanku puteri, patik rasa tuanku patut lupakan perkara ni. Sebenarnya, patik juga rasa tidak adil untuk mereka, tapi apa yang kita mampu lakukan? Baginda telah menyimpan rahsia dendam ini begitu lama dan patik rasa baginda tidak akan memberitahu sesiapa pun tentangnya kepada orang lain. Jika menteri-menteri tahu tentang ini, mereka semua akan hilang rasa hormat kepada baginda sebagai raja Grandolia. Patik rasa selagi puak Grey tidak keluar dari tempat persembunyian mereka dan bertindak bodoh, mereka akan selamat di sana. Tuan puteri janganlah risau. Tak ada apa-apa yang kita mampu lakukan." 

Viktoria kembali ke kamarnya dengan kata-kata Graham masih terngiang-ngiang di fikirannya pada masa itu. Memang benar juga, dia memang tidak mampu berbuat apa-apa. Dia tidak mampu mengubah fikiran ayahandanya, tidak mampu mendamaikan kerajaan Grandolia dengan puak Grey. Dia hanyalah puteri yang lemah dan tidak mampu berbuat apa-apa. Malam semakin larut dan langkahnya semakin longlai sehinggakan dia tidak menyedari Putera Arthur sedang memeluk tubuhnya dari sebalik pintu bilik itu sambil tersenyum mendengar rahsia yang disimpan oleh raja kerajaan itu diluahkan satu persatu.

Viktoria sendiri tidak sedar bila dia terlena malam itu namun dia terjaga apabila kedengaran bunyi ketukan di pintu. Baru dia teringat yang dia perlu menghadiri kelas tarian pagi ini bersama-sama dengan Veronika. Namun dia mengeluh malas. Siapa lagi mahu menari selepas mengetahui perkara yang dirahsiakan ayahandanya selama bertahun-tahun? 

Seorang orang suruhan peribadinya masuk ke dalam bilik selepas dia memberi arahan, menghampiri katilnya lalu menyerahkan sepucuk kertas yang dilipat dua. Viktoria menyambut kertas itu tanpa rasa aneh. Pasti surat itu datang dari Craig kerana mereka memang kerap berhubung melalui cara ini jika mahu bertemu di mana-mana. Namun, matanya terbuka luas dan rasa mengantuk terus hilang apabila membaca isi kandungan surat yang ringkas itu.

Tuanku arahkan tentera masuk ke perkampungan puak Grey di daerah Freyes dan bunuh mereka semua. Kami bergerak sebelum subuh. Aku rasa kau patut tahu tentang ini.  -Craig-

Viktoria terus melompat dari katilnya. Jantungnya berdebar-debar dan pada masa itu hanya seorang sahaja yang terlintas di fikirannya. 

Katalina!

No comments:

Post a Comment