Thursday 31 March 2016

The Runaway Princess : Bab 10

Viktoria

Kurang dua minggu lagi majlis tari menari akan diadakan di istana. Kad-kad jemputan telah diedar ke semua rumah bangsawan, pembesar diraja dan golongan elit di Grandolia termasuk juga kepada kerajaan berjiran. Selalunya, kad jemputan dari istana diperbuat dari kertas tebal yang baik kualitinya, berwarna kuning emas dengan cop mohor diraja berwarna merah pekat seperti warna darah. Anak-anak gadis akan melompat kegembiraan bila menerima jemputan seperti ini tapi malangnya, putera sulung kerajaan ini baru berusia 10 tahun. Mereka perlu menunggu sekurang-kurangnya 5 atau 6 tahun lagi, barulah Viktor boleh diperkenalkan sebagai putera mahkota dan mencari puteri mahkotanya sendiri. 

Veronika sedang sedang berbual dengan seorang peniaga batu permata diraja dan sibuk memilih perhiasan baru yang dibawa masuk ke istana untuk digayakan dengan gaun merah jambu yang akan dipakai di majlis itu kelak. Veronika lebih bersemangat dalam hal-hal begini berbanding Viktoria yang sekadar bersandar di dinding sambil memerhatikan orang-orang gaji istana sedang sibuk menyapu habuk dan menyusun semula perabot istana. Sejak akhir-akhir ini, semua pekerja istana akan sibuk dengan persiapan mengemas dan mencuci terutamanya di dewan tari-menari di amna majlis itu akan diadakan. Ketua tukang masak perlu mula keluar memilih bahan-bahan mentah yang segar dan berkualiti untuk disediakan kepada jemputan. Pada masa beginilah, keadaan di istana akan menjadi kelam-kabut sedikit.

Fikiran Viktoria tidak pernah lekang dari memikirkan tentang puak Grey sejak dia kembali ke istana empat hari lalu. Dia berazam mahu bertemu dengan ayahandanya dan selalu mundar-mandir di hadapan pintu kamar diraja yang bersambung dengan sebuah ruang yang dijadikan ruang bekerja ayahandanya, tapi baginda terlalu sibuk dengan urusan harian. Penasihat-penasihat diraja kerap keluar masuk bilik itu sambil membawa helaian dokumen untuk disemak dan ditandatangan. Viktoria tahu bahawa setiap keputusan mesyuarat diraja ataupun undang-undang atau dasar kerajaan yang baru digubal, malah senarai nama pesalah yang perlu dihukum pada hari itu perlu mendapatkan perkenan dan tandatangan baginda sebelum boleh berkuatkuasa. Itu sudah menjadi satu peraturan lazim yang diamalkan di Grandolia sejak dulu lagi. Akhirnya, Viktoria terpaksa membatalkan niatnya apabila dia melihat Ayahandanya terlalu sibuk di meja kerja.

Viktoria mengeluh membuatkan Veronika berkalih memandangnya. "Kau kenapa?" Dia bertanya.

"Ayahanda terlalu sibuk sejak akhir-akhir ni." Viktoria menjawab.

"Mestilah dia sibuk sebab majlis tari-menari ni. Kau takkan tak tahu berapa banyak kapal kerajaan asing dah mula datang berlabuh di pelabuhan kita. Ayahanda sibuk sekarang, buat apa kau nak ganggu?" Tempelak Veronika.

"Tapi, saya perlu jumpa dengan Ayahanda."

"Kau nak beritahu ayahanda tentang puak Grey tu?" Soal Veronika dengan kening terangkat. Viktoria telah memberitahu pengalamannya kepada kakaknya itu dan secara jujurnya, Veronika hanya merasakan niat Viktoria itu hanyalah membuang masa. Viktoria patut lebih menumpukan perhatian dengan majlis tari-menari dan mencari calon suami.

Viktoria mengangguk, Selagi dia belum memberitahu ayahandanya, selagi itu hatinya tidak tenang. Otaknya masih ligat berfikir bila dia boleh berjumpa dengan Raja Nathan. Jika ditangguh lagi, dia risau jika dia terpaksa melupakan hasratnya itu.

"Aduh..!" Suara Veronika menjerit membuatkan Viktoria mengangkat kepala. Dia terpandang kakaknya hampir terduduk di lantai namun sempat disambut oleh seorang lelaki yang tidak dikenali yang pada masa itu memegang lengan kanan dan pinggang Veronika dengan erat. Mata mereka bertaut untuk seketika namun Veronika pantas menolak lelaki itu dan kembali berdiri tegak sambil membetul-betulkan gaunnya. Dia kemudian mendongak memandnag tepat ke wajah lelaki asing tadi dengan muka yang sedikit marah.

"Kau ni siapa? Berani kau pegang beta?"

Lelaki itu meletakkan tangannya di dada lalu memberi tunduk hormat kepada Veronika. "Maafkan saya, tuan puteri. Tapi saya nampak tuan puteri hampir terjatuh sebab terlalu khusyuk memilih rantai leher, jadi saya terpaksa sambut."

Viktoria menapak ke arah mereka dengan segera dan dia juga turut memerhatikan lelaki asing itu. Lelaki itu berbadan tegap, berkulit cerah dan berambut keperangan. Sebutir tahi lalat kecil kelihatan di atas bibirnya membuatkan wajahnya kelihatan sedikit keanak-anakan. Di belakangnya kelihatan tiga orang lelaki lain berpakaian sama segak dan kemas dengannya dan juga seorang perempuan yang kelihatan lebih berusia.

"Siapa kamu?" Viktoria mengulang pertanyaan kakaknya walaupun nada suaranya tidak sekeras nada suara Veronika.

Lelaki itu turut memberi tunduk hormat kepada Viktoria. "Nama saya Arthur, putera mahkota kerajaan Brittania. Saya datang mewakili ayahanda saya ke majlis tari-menari Grandolia." Dia memperkenalkan diri sambil tersenyum.

Viktoria tersenyum. Inilah pertama kali dia bertemu dengan putera dari kerajaan itu. Grandolia baru sahaja berhubungan baik dengan Brittania sejak beberapa tahun lalu. Kerajaan itu ialah kerajaan terkuat dan terkaya di kawasannya yang telah menakhluki hampir 90% kawasan di benua Brittania dan telah mempunyai pengaruh empayar yang cukup luas. Mempunyai hubungan baik dengan Brittania dapat menguntungkan Grandolia dalam pelbagai aspek dari segi bantuan ketenteraan dan kewangan. Brittania memang terkenal dengan sikap suka membantu kerajaan-kerajaan yang mempunyai hubungan diplomatik dengannya, namun kerajaan itu juga digeruni kerana tidak teragak-agak akan menyerang balas mana-mana negara yang menikamnya dari belakang.

"Bila tuanku sampai ke Grandolia?" Viktoria menyoal.

"Pagi tadi kami sampai." jawab putera itu. Dia menoleh memandnag ke arah pengikut di belakangnya. "Ini ketua panglima maritim kami, Lord Birmington dan anak-anak buahnya." Dia menunjuk kepada seorang lelaki berusia awal 40-an yang berkumis nipis dan berwajah serius namun masih menjungkitkan bibir memberi senyum hormat kepada Viktoria dan kakaknya. "Dan ini Puan Pomfrey, dia seperti ibu saya." Dia menunjuk pula pada wanita yang datang bersamanya.

"Saya Viktoria, puteri ketiga Grandolia dan ini kakak saya, Veronika. Jika tuanku mahu menghadap ayahanda saya, dia ada di pejabatnya sekarang. Maaf, dia sibuk sebab tu tak sempat menyambut ketibaan tuanku." Viktoria berkata sambil menjeling Veronika yang masih diam membatu.

Arthur tersenyum. "Puteri-puteri kerajaan Grandolia memang cantik orangnya. Nasib baik saya yang datang ke sini hari ni. Mungkin kalau nasib saya baik, saya boleh menari dengan tuan puteri berdua nanti." Dia berseloroh namun sempat memandang ke arah Veronika yang tampaknya masih tidak mahu bercakap itu.

Viktoria ketawa. Dia kemudian mengisyaratkan salah seorang dari pegawai istana untuk membawa rombongan Brittania itu ke pejabat diraja untuk berjumpa ayahandanya.

"Kita akan jumpa lagi." Arthur tersenyum dengan matanya melirik seketika ke arah Veronika. Dia kemudian berlalu pergi sambil diikuti dengan pengikutnya yang kelihatan setia mengikutnya dari belakang.

"Dia agak kacak." Puji Viktoria sebaik sahaja rombongan itu hilang dari pandangan. Dia mengerling ke arah Veronika yang kembali menumpukan perhatian memilih perhiasan diri.

"Dia nampak berlagak." Kata Veronika. "Tapi ya, dia memang kacak. Lelaki seperti ini rasanya dia boleh dapat mana-mana perempuan yang dia nak dengan mudah."

"Jadi, kakak dah jumpa sasaran untuk majlis tari-menari nanti?" Viktoria tersengih.

"Tapi dia nampak lebih berminat pada kau."

Viktoria ketawa. "Malangnya, saya tak berminat pada dia. Kakak cubalah dekati dia sebelum majlis tu. Mungkin dia akan pilih kakak."

Veronika tersenyum. Namun seketika kemudian dia menoleh memandang adiknya. "Tapi aku tak fahamlah kau ni. Kau berminat dengan lelaki yang bagaimana?"

Viktoria mengangkat bahu. "Tak tahu."

"Kau sedar kan yang kau perlu berkahwin?"

Viktoria ketawa. "Saya nak keluar cari Craig."

"Jangan-jangan kau suka budak tu?" Veronika menyoal dengan dahi yang berkerut.

Viktoria tersenyum. Dia sedar kerisauan kakaknya itu. Bukan sehari dua mereka bersama dan memang sudah lama kakaknya memancing peluang untuk bertanya soalan tentang perkahwinan yang dia sendiri masih belum pasti.  "Saya memang sukakan Craig." Katanya.

"Tapi saya bukan suka dia macam yang kakak sangka." Viktoria menyambung.

*****

Craig

Latihan ketenteraan yang dijalani sejak empat hari lalu membuatkan Craig kelihatan lesu. Berkat daripada pujukan Viktoria dan Jeneral Ilyas, raja Nathan membatalkan hukuman terhadapnya dan memberi kata putus yang dia diberi tempoh percubaan selama sebulan untuk menjalani latihan tentera di bawah Jeneral Ilyas sendiri. Jika prestasinya tidak memuaskan, dia akan terus dihalau keluar dari istana. Setiap pagi, dia dikehendaki turun ke arena, berlari sebanyak 20 pusingan sehingga badannya seperti tidak dapat menampung berat badannya sendiri. Selepas itu, dia diberi rehat selama 15 minit sebelum mula berlatih berlawan dan bermain senjata bersama rekrut yang lain. Waktu petangnya, dia perlu meronda di sekitar istana bersama beberapa tentera lain. Jeneral Ilyas masih belum memberi apa-apa tugasan kepadanya dan dia masih di peringkat permulaan.

Craig sedar dirinya tidak dialu-alukan di situ. Dia pernah terdengar kata-kata Samuel, salah seorang rekrut yang hanya tua setahun darinya bersama-sama kawan-kawannya yang lain yang menghinanya hanya kerana dia ialah anak orang gaji istana. Semasa dan selepas latihan, dia pernah dibelasah teruk oleh kumpulan itu tanpa pengetahuan tentera-tentera lain yang lebih senior hanya kerana mereka tidak berpuas hati dengannya.

"Kau tak layak jadi tentera Grandolia bersama dengan kami, budak penjaga kuda! Jangan ingat kau berkawan baik dengan puteri Viktoria, kami akan terima kau dengan senang." Samuel meludah ke atas badannya diikuti dengan gelak tawa kawan-kawannya yang lain. 

Craig menggagahkan diri bangkit perlahan-lahan sambil mengesat kesan darah di tepi bibirnya dan dia pasti keesokan harinya bibir dan pipinya pasti akan lebam. Perutnya terasa senak diterajang oleh Hamos dan Bane sebentar tadi.Craig tahu jika dia melaporkan perkara ini kepada Jeneral Ilyas, Samuel dan kawan-kawannya pasti akan bermasalah besar. Namun, dia tidak mahu lagi dicop budak manja dan bergantung pada orang lain. Dia sedar selama ini nasibnya selalu baik kerana adanya Viktoria. Tapi kali ini, dia tidak mahu lagi melibatkan Viktoria dalam perjuangannya. Dia mahu berdiri di atas kakinya sendiri dan berusaha supaya dia benar-benar ditauliahkan sebagai tentera Grandolia. 

Dia hanya perlu bertahan.

No comments:

Post a Comment