Thursday 3 March 2016

The Runaway Princess : Bab 8

Viktoria

Sampan kecil itu menyelusuri sungai Jarnia perlahan-lahan. Marwin hanya mendayung dengan tenang namun matanya meliar memandang sekeliling. Viktoria tahu lelaki itu sedang berjaga-jaga jika dilihat seseorang terutamanya mereka yang bekerja dengan istana. Menurut Kat, ayahandanya telah mengeluarkan perintah bunuh terhadap puak Grey, maka tidak mustahil ayahandanya akan memerintahkan rakyat yang membantu atau bersekongkol dengan mereka juga akan dibunuh.

Sejujurnya Viktoria berasa keliru dengan apa yang berlaku. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah mendengar perkara seumpama ini. Di kelas, dia diajar yang puak Grey ialah puak pemberontak, hidup dalam kemewahan, pencuri dan penjenayah. Namun apa yang dilihatnya tadi tidak menggambarkannya seperti itu. Mereka seperti diusir dari Grandolia dengan sungai Jarnia yang memisahkan mereka.

"Macam mana kau boleh berada di sana?" Suara Marwin memecah kesunyian membuatkan Viktoria tersentak. Dia memandang ke arah lelaki itu yang tampak berminat hendak mengetahui tentang dirinya. Viktoria berdebar-debar, risau jika lelaki itu tahu identiti dirinya.

"Aku terjatuh dalam sungai dan hanyut. Katalina yang selamatkan aku." Balas Viktoria lalu memandang ke arah sungai semula. Dia mula berharap mereka dapat tiba di persisiran sungai di Archeon secepat mungkin. Keadaan di situ terlalu sunyi dan haya kedengaran desiran air sungai dan serangga-serangga di hutan. Hatinya tidak tenang apabila bersama Marwin. Tidak seperti ketika dia bersama Kat sebentar tadi. Pada masa itu, dia sendiri telah terlupa dengan Craig.

"Kalaulah budak perempuan tu tak bayar aku sebanyak ni, jangan harap aku akan bawa kau naik sampan aku ni!" Marwin menyambung.

"Kenapa?"

"Tentera Grandolia akan tangkap dan bunuh aku kalau mereka tahu aku berurusan dengan puak Grey. Tak ada sesiapa pun dari seberang sana tahu aku buat kerja ni, tapi sekarang kau dah tahu."

Wajah Viktoria berubah. "Aku takkan beritahu sesiapa."

Marwin memandangnya seperti tidak percaya namun masih berdayung dengan senyap.

"Jadi kenapa kau berurusan dengan mereka?" Viktoria memberanikan diri bertanya.

Marwin terdiam beberapa ketika sebelum membuka mulutnya. "Sebab mereka juga manusia yang memerlukan perhatian."

Viktoria terus terdiam cuba menghadam kata-kata itu. Sebab mereka juga manusia. Tapi, kenapa ayahandanya tidak berfikiran begitu? Apa sebenarnya dendam di antara ayahandanya dengan puak Grey sehingga sebagai seorang raja, sebagai seorang pemerintah, dia sanggup mengabaikan rakyatnya sendiri?

Viktoria memejam mata membayangkan ayahandanya. Raja itu memang tegas dan serius. Layanannya terhadap putera-puterinya juga bukan seperti layanan seorang bapa kepada anaknya. Mungkin ayahandanya lebih berlembut terhadap Viktor kerana Viktor masih kecil dan dia lah putera mahkota kerajaan Grandolia. Kadang-kadang Viktoria merasakan ayahandanya menganggap puteri-puterinya hanyalah alat untuk membesarkan empayar. Dengan perkahwinan diplomatik, hubungan di antara Grandolia dengan kerajaan lain akan bertambah baik dan Grandolia dapat emluaskan pengaruhnya. Namun, Viktoria tahu ayahanda bukanlah seorang yang kejam.

Sampan itu bergoyang-goyang secara tiba-tiba membuatkan Viktoria terkejut. Dia memandang ke arah Marwin. "Kenapa?"

"Shhh!" Marwin memicing telinga dan memandang sekeliling. Pada masa itu kesemua deria lelaki itu seolah-olah terbuka.

Viktoria sendiri sedar yang bunyi serangga tadi telah mula senyap dan dia mula berasa seperti diperhatikan. Dia turut memandang sekeliling dengan cemas. Dia tahu yang ada orang sedang memerhatikan mereka.

"Tunduk sekarang." Marwin memberi arahan dan Viktoria tidak tunggu lama lalu tunduk melutut dilantai sampan. Dia menekan kepalanya dengan telapak tangan dengan pipinya rapat di lantai. Bulu roma di belakang lehernya meremang. Tidak lama kemudian sebatang anak panah memacak tepat ke dinding sampan betul-betul berhampiran Viktoria. Dia hampir menjerit namun masih kekal dalam keadaan bergulung di lantai sampan. Dia menjeling ke arah Marwin yang juga telah mula tunduk namun masih terus berdayung. Beberapa anak panah lagi memacak di dalam sampan dan ada yang mendarat di atas barang-barang dan ada yang masuk ke dalam sungai.

"Siapa yang panah kita? Tentera ke?" Viktoria melaung.

"Bukan! Mereka ialah lanun yang selalu merompak peniaga di sungai dan laut."

"Lanun?" Viktoria mula berasa seperti hendak pitam. Dia mengangkat kepala cuba mengintai di tebing sungai melalui celah-celah papan sampan. Dia terpandang beberapa susuk tubuh manusia berpakaian hijau gelap sedang bersembunyi di rimbunan pokok sambil melepaskan anak panah. Matanya terpandnag pula sebuah sampan kecil yang baru bergerak dari tepi sungai menuju ke arah mereka. Viktoria sedar yang sampan itu disembunyikan dalam rimbunan daun bagi mengelakkan dikesan.

"Ada sampan ikut belakang kita!" Viktoria memberitahu Marwin yang masih mendayung dalam keadaan terduduk. Marwin menjeling ke belakang lalu semakin laju mendayung sampannya.

"Kita kena cepat sampai di Archeon sebelum lanun-lanun ni tangkap kita." Peluh mula merecik di pipinya dan lengannya mula kebas kerana cuba berdayung dengan cepat. Namun, sampan di belakang mereka semakin dekat menghampiri.

Viktoria memandang ke arah longgokan barang di dalam sampan yang ditutup dengan sejenis kain terpal berwarna kelabu. Tanpa berlengah, dia membuka kain itu lalu mula mencampakkan beberapa barang besi ke dalam sungai.

"Apa kau buat tu?" Marwin menjerit berang.

"Sampan kita terlalu berat. Aku kena buang barang-barang ni. Kau teruskan mendayung."

Marwin memandang sayu barang-barangnya yang dicampak ke dalam sungai namun dia akur dengan kata-kata Viktoria dan sampan mereka semakin lama semakin laju menyelusuri air sungai sehingga akhirnya sampan di belakang tidak dapat dikesan. Viktoria dan Marwin terduduk di dalam sampan dengan lega walaupun hampir separuh daripada barang--barang jualan dalam sampan terpaksa dibuang ke dalam sungai.

"Berapa lama lagi kita akan tiba di Archeon?" Viktoria menyoal.

"Tak jauh."

Sampan itu berlabuh agak jauh dari pelabuhan persisiran sungai yang menjadi tumpuan orang ramai. Archeon ialah sebuah pekan kedua terbesar selepas Gold City yang terletak berdekatan dengan sungai dan laut. Sebuah pelabuhan kecil ditempatkan di persisiran sungai menjadi tumpuan peniaga-peniaga kecil dan sampan-sampan kecil, manakala pelabuhan laut yang besar pula terletak di pinggir Gold City.

"Kau boleh balik sendiri?" Marwin menyoal.

Viktoria mengangguk walaupun dia masih berfikir yang dia perlu meminta bantuan untuk menyampaikan pesanan ke istana. Dia tidak pernah sampai ke Archeon sebelum ini dan jika dia hendak pulang ke istana, dia perlukan seekor kuda, namun pada masa ini dia tidak mempunyai sesen pun.

"Terima kasih." Ucap Viktoria dan menepuk bahu Marwin dengan mesra. "Aku janji takkan beritahu sesiapa tentang apa yang kau buat. Teruskan hantar bekalan ke sana." Viktoria berbisik lalu mengukir senyuman. Dia kemudian berjalan perlahan-lahan meminta bantuan dari beberapa orang lelaki berpakaian tentera yang sedang memeriksa barang-barang di dalam sampan yang sedang berlabuh.

2 comments:

  1. cecepaatlaaaa smbunggg......huhuhu pnjangkan new entry plsss ^_____^

    ReplyDelete