Thursday 18 February 2016

The Runaway Princess : Bab 7

Viktoria
Perkampungan itu memang tampak miskin namun tidaklah sedaif yang dilihat. Puak Grey masih mampu hidup di dalam hutan dengan kemudahan yang ringkas walaupun tidaklah begitu selesa. Mereka membina rumah dengan kayu, batu dan tanah liat atau apa-apa saja hasil hutan yang ditemui. Kedudukan kampung itu yang agak dekat dengan sungai memudahkan mereka mendapat sumber air dan makanan. Malah, mereka pandai membina laluan air sungai yang digunakan untuk menyiram hasil tani walaupun sebenarnya bukanlah susah sangat untuk mereka mendapatkan sayur-sayuran dan buah-buahan segar di dalam hutan. Selain itu, mereka boleh berburu haiwan di dalam hutan dan Viktoria pasti yang mereka sangat mahir berburu. Menurut Kat, kebanyakan peralatan dan senjata yang mereka gunakan samada disediakan sendiri ataupun didapati dari penyeludup dari bandar atau daerah berdekatan Gold City.

Viktoria mendongak ke langit dan terpandang seperti sebuah pondok kecil tanpa bumbung di atas sebatang pokok yang paling tinggi dan anak-anak tangga yang diperbuat dari papan dibina dari tanah ke pondok kecil itu. 

"Itu tempat kami berkawal dan memerhati musuh atau binatang liar." Jawab Kat apabila disoal.

"Di sini ada binatang liar?" Wajah Viktoria berkerut namun dia seperti tidak dapat menyembunyikan perasaan ingin tahunya yang mendalam.

"Tentulah ada. Kan sini kawasan hutan, selalunya akan ada gajah atau babi hutan tersesat ke kampung kami."

"Kat, betul ke puak Grey selalu diserang tentera ka.. emm Grandolia?" Viktoria menyoal walaupun tadi dia nyaris-nyaris hendak menyebut perkataan 'kami' namun cepat-cepat tersedar dan membetulkan pertanyaannya.

Kat mengukir senyuman nipis namun masih berjalan dengan laju. Mereka kini sudah keluar dari perkampungan itu dan semakin jauh masuk ke dalam hutan. Melihat langkah Kat yang lincah, memang menujukkan betapa dia sudah biasa dengan hutan di situ malah langsung tidak takut jika tersesat ataupun tersalah jalan. Viktoria sendiri agak termengah-mengah mengekori gadis itu, namun dia cuba sedaya upaya cuba untuk bergerak pantas seperti Kat. Pakaian mereka yang basah tadi sudah kering dan Viktoria mendapati warna rambut Kat yang kemerahan itu semakin merah apabila dipanah sinaran matahari.

"Kau tengok saja macam mana kampung kami kalau nak dibandingkan dengan kampung kau di Archeon. Banyak beza kan?" Kata Kat walaupun tidak menjawab soalan Viktoria.

Dalam hati, Viktoria memperakui kata-kata itu walaupun dia sendiri belum pernah melihat kampung di daerah Archeon. Namun, dia menumpukan sepenuh perhatian dalam kelas geografi dan sejarah semasa gurunya, Glenn, seorang ahli akademik di Gold City mengajar di istana. Dia juga tahu dengan jelas peta kerajaan itu, tahu sejarah kerajaan Grandolia dan tempat-tempat dalam kerajaan itu melalui buku-buku yang selalu dibaca di perpustakaan istana. Dia pernah terdengar ayahandanya pernah berpesan kepada Viktor supaya belajar selok-belok politik negara dan pemerintahan kerajaan dengan teliti sebelum menjadi raja supaya tidak mudah ditipu atau dimanipulasi oleh menteri atau golongan bangsawan. Namun Viktoria sedar bahawa segala fakta yang diketahui tentang daerah Freyes dan puak Grey selama ini sebenarnya tidak benar.

Viktoria terdengar bunyi air sungai tidak jauh dari mereka dan dia sedar yang pokok-pokok di hutan itu semakin nipis dan rendah.

"Kita dah sampai di tepi sungai." Bisik Kat yang mula berjalan perlahan-lahan dan bersembunyi di sebalik rimbunan pokok dan mengintai ke arah tebing sungai yang cetek. "Kawasan ni terlindung sedikit dari tebing sana, Marwin akan selalu berlabuh di sini."

"Marwin?"

"Penyeludup dari Gold City. Namanya Marwin. Selalunya dia cuma nak berurusan dengan ketua puak kami atau Luc, tapi hari ni kita perlukan bantuan dia juga untuk bawa kau ke sana."

"Luc? Budak lelaki yang kita jumpa tadi?" Viktoria mengangkat kening.

Kat mengangguk namun matanya masih tidak berganjak dari tepi sungai. "Dia tu anak ketua puak kami. Sangat berlagak dan aku tak faham kenapa ramai perempuan suka pada dia."

Viktoria tidak dapat menahan diri dari tersengih. "Sebab dia kacak?" Memang Viktoria juga mengakui yang Luc berwajah agak kacak dan maskulin. Tubuhnya sasa seperti selalu berlatih dan bersenam.

Kat memandang Viktoria dengan wajah yang tidak percaya. "Muka macam tu kau kata kacak? Kau ni rabun? Jangan kau balik nanti teringat pada dia je."

Viktoria tertawa kecil. "Sekarang ni apa kita nak buat?" Dia bertanya.

Kat mula melabuhkan punggung di atas tanah. "Sekarang ni kita tunggu."

"Kau selalu berurusan dengan Marwin?" Viktoria menyoal. Dia tidak mahu keadaan senyap-sunyi di antara mereka. Entah kenapa dia berasa tidak selesa jika tidak bercakap dengan Kat dan hanya berdiam diri. Kat bukanlah seorang perempuan yang bercakap banyak dan lebih banyak memerhati. Dia kurang selesa apabila ditenung oeh gadis itu.

"Taklah selalu tapi aku pernah berjumpa dengan dia sekali." Jawab Kat yang mula memandang tepat ke wajahnya. "Kau ni memang berbeza."

"Apa yang berbeza?"

"Kau tak sama macam perempuan lain. Wajah kau terlalu cerah seperti kulit bangsawan dan walaupun pakaian kau sama seperti aku, tapi pergerakan kau tak sama macam perempuan kampung lain."

Viktoria mula berasa tidak senang. Dia risau jika Kat mula mengesyaki identitinya namun dia memerlukan bantuan Kat pada ketika itu. Malah bila difikirkan, memang satu keajaiban yang dia berada di situ bersama Kat. Kat yang menyelamatkan nyawanya malah Kat juga yang mencuri ciuman pertamanya, walaupun sebenarnya gadis itu bukanlah berniat begitu tetapi sedang memberikan bantuan pernafasan kepadanya. Wajah Viktoria mula merona merah namun dia tahu yang dia amat terhutang budi pada gadis di hadapannya itu.

Penantian mereka tidak lama apabila Viktoria terpandang sebuah sampan kayu mula bergerak ke arah tebing sungai dan berlabuh di gigi air. Seorang lelaki melompat keluar dari sampan itu dan mengikat tali sampan itu ke sebatang dahan pokok supaya sampan itu tidak dihanyutkan air sungai.

"Itu ke Marwin?" Viktoria berbisik.

"Ya, mari kita pergi." Kat bingkas bangkit berdiri dan dengan lagak seekor harimau, dia mengintai keadaan sekeliling dan apabila dipastikan tiada sesiapa di situ, dia berjalan laju dengan senyap turun ke gigi air. "Jangan keluar selagi aku tak panggil kau."

"Siapa tu?" lelaki bernama Marwin itu bersuara apabila merasakan pergerakan seseorang di belakangnya. Tangannya bersiap-sedia hendak mengeluarkan sebilah pisau yang tersembunyi di dalam bajunya. Sebaik sahaja dia terpandang Kat, dia menyimpan kembali pisaunya di dalam baju. "Kau nak beli sesuatu?" Marwin bertanya.

"Aku tak nak beli apa-apa hari ni." Kat menjawab.

"Kalau macam tu, pergi balik. Aku tak ada masa nak bersembang." Jawab Marwin dengan kasar.

"Aku perlukan bantuan kau untuk menyeludup keluar seseorang dari Freyes."

Kening Marwin terjungkit. Dari sebalik pokok, Viktoria dapat melihat wajah lelaki itu. Kulitnya sedikit cerah berbanding kulit Kat namun kelihatan kasar dan menggerutu. matanya kecil dengan kening dan bibir yang nipis. Viktoria mengagak lelaki ini bekerja sebagai buruh kasar di Gold City, memperolehi barang-barang terbuang dari kilang dan menyeludup dan menjual barang-barang itu kepada puak Grey barangkali dengan harga yang mahal.

"Anna!" Kat memanggil membuatkan Viktoria terkejut. Segera dia teringatkan nama palsunya itu lalu dia keluar dari tempat persembunyiannya perlahan-lahan.

Mata Marwin terbuka luas memandang ke arahnya. "Hah- siapa ni?"

"Dia hanyut ke Freyes melalui sungai dan dia perlu bantuan balik ke Archeon." Jawab Kat.

"Archeon? Kau dari Archeon?" Marwin menyoal memandang tepat ke arah Viktoria.

Viktoria mengangguk. Walaupun hatinya berdebar-debar pada ketika itu, namun dia cuba memberanikan diri. Dia perlu naik sampan itu ke seberang sana untuk balik ke istana Grandolia. Dia tahu dia tidak akan selamat jika berada di Freyes lebih lama dan dia tidak mahu menyusahkan Kat dengan lebih lama. "Bantu aku balik ke sana."

Marwin mengurut pipinya. "Kau tahu aku tak buat kerja dengan percuma." Dia berkata memandang tepat ke arah Kat.

"Aku tahu. Sebab tu aku sediakan ni." Kata Kat lalu mengeluarkan uncang kecil yang diambilnya dari rumahnya tadi. Dia menggoncang-goncangkan uncang itu di hadapan Marwin. "Tapi kau perlu bawa perempuan ni ke seberang sana dengan selamat."

Marwin kelihatan teragak-agak namun seketika kemudian dia mengangguk. "Baiklah, aku setuju. Tapi aku tak jamin keselamatan kau. Kau kena jaga diri kau sendiri." Dia berkata kepada Viktoria.

Senyum Viktoria terjungkit dari bibirnya dan secara spontan dia memeluk Kat dengan erat. "Terima kasih, Kat! Aku pasti akan balas budi kau satu hari nanti." Ucapnya sebelum melepaskan pelukannya membiarkan Kat berdiri tegak seperti patung.

"Pastikan kau tak lemas lagi dan simpan rahsia tentang kami di sini. Cepat masuk dalam sampan tu dan pastikan tak ada orang nampak kau." Balas Kat. Dia kemudian menyerahkan uncang itu kepada Marwin yang tampak gembira itu.

"Duduk baik-baik dan kalau aku suruh kau tunduk, kau kena dengar arahan aku." Marwin mengarah  sambil merungkaikan ikatan tali sampannya lalu mula berdayung perlahan-lahan menjauhi tebing.

Viktoria memandang tepat ke arah Kat yang berdiri di tepi sungai. Secara spontan tangannya diangkat dan dia melambai-lambai ke arah Kat yang juga turut membalas lambaiannya. Viktoria mengukir senyuman manis ke arah gadis puak Grey itu sehinggalah sampan itu semakin bergerak perlahan ke tengah sungai.

Adakah kita boleh bertemu lagi?

*****

Craig

Dahinya mula berpeluh sejuk apabila dia sudah tidak dapat melihat Viktoria di dalam sungai. Dia berlari pantas mengejar Viktoria yang dibawa arus sungai dan laluannya semakin panjang kerana dia hutan seperti semakin tebal dna rimbunan pokok semakin banyak. Dia semakin cemas apabila Viktoria semakin menjauh dan dia tidak dapat melihat puteri itu lagi. Tanpa berfikir panjang, dia mula terjun ke dalam sungai tanpa menghiraukan keselamatannya namun Craig sedar yang dia tidak mahir berenang. Dia sekadar berpaut di dahan pokok yang menganjur ke sungai sambil menjerit memanggil nama Viktoria.

Akhirnya dia terpaksa naik ke tebing dan kembali ke tempat mereka mengikat kuda mereka. Dia perlu balik ke istana dan melaporkan tentang kehilangan Viktoria dan dia perlu menerima apa jua hukuman yang bakal diterima.

No comments:

Post a Comment