Saturday 6 February 2016

The Runaway Princess : Bab 2

Viktoria

Viktoria menggigit bibir sambil berjalan mundar-mandir dengan kening yang berkerut. Dia mengeluh seperti sedang menanggung masalah yang paling sukar di dalam dunia. Memanglah bermasalah sebab dia tidak mampu hendak melawan kehendak ayahandanya. 

Sudahlah dipaksa menghadiri majlis tari-menari yang membosankan, dia juga terpaksa memilih calon suami semasa majlis itu. Adakah memilih calon suami semudah memilih pakaian di dalam almari? Jika semudah itu, tidaklah dia susah hati sendiri. Tapi kalau dia gagal, bererti dia akan dijodohkan dengan pilihan ayahandanya. Itu lagi haru! Entah-entah dengan golongan bangsawan mana yang dia tidak kenal.

Sebagai puteri ketiga dalam kerajaan Grandolia, Viktoria sedar kedudukannya dalam kerajaan tidak sepenting mana. Dia bukanlah pewaris kerajaan itu kerana masih ada adiknya, Viktor. Tapi itu tidak bermakna ayahandanya akan membenarkan puteri-puterinya berkahwin dengan orang sebarangan. Jika bukan putera raja pun, sekurang-kurangnya bakal suami mereka mestilah dari golongan bangsawan.

Viktoria memanglah tidak mempunyai calon suami. Seumur hidupnya, dia tidak pernah jatuh hati pada mana-mana manusia pun. Hidupnya hanya bergelumang dengan buku-buku yang disimpan di dalam perpustakaan istana dan kuda hitamnya. Dia gemar membaca dan jika ada masa lapang, dia akan keluar berburu di dalam hutan bersama Craig yang dibesarkan di dalam istana. Dia ialah anak kepada salah seorang orang gaji yang berkhidmat di dalam istana dan disebabkan umur mereka berdua hampir sebaya, mereka bersahabat sejak kecil lagi.

"Duduklah Viktoria. Aku letih tengok kau mundar-mandir macam ini." Veronika yang sedang duduk di atas katilnya menegur. Selesai bersantap dan mengucap salam kepada ayahandanya, Viktoria menarik lengan kakaknya dan berkurung di dalam bilik.

"Kak Veronika tak risau dengan majlis tari menari ni?" Viktoria menyoal sebelum melabuhkan punggung di sebelah kakanya. Mata hazelnya merenung tepat ke wajah Veronika menunggu jawapan.

"Kau nak risau apa? Kita dilahirkan sebagai puteri kerajaan ni, tentulah ayahanda mahukan yang terbaik untuk kita. Kau pilih saja lah putera yang kacak semasa dalam majlis tu nanti." 

Viktoria mengeluh. "Orang kacak tak semestinya berotak. Orang berotak tak semestinya baik. Kalau semua lengkap pun, tak semestinya saya akan suka pada dia. Takkan kakak tak nak berkahwin dengan orang yang kakak suka?"

Veronika tersenyum. "Sebab tu lah ayahanda anjurkan majlis ni supaya kita bertemu dengan orang yang kita mungkin suka." 

"Mungkin- tak semestinya orang yang kita suka akan hadir dalam majlis tu, kan?" 

Veronika mengerutkan wajahnya. "Ayahanda akan jemput semua putera dan golongan bangsawan di seluruh negara. Takkanlah seorang pun yang tak menepati ciri-ciri bakal suami yang kau nak?"

"Macam mana kalau orang yang saya suka tu bukannya dari golongan bangsawan? Ataupun anak-anak raja? Atau anak-anak menteri atau orang berpangkat? Macam mana kalau dia hanya dari golongan biasa?"

"Jangan mengarut lagi, Viktoria. Jangan buat ayahanda murka." Veronika mula bangkit dari katil.

"Tapi-"

"Kakak nak tukar pakaian dan tidur. Jangan fikir tentang ni kalau kau tak mahu ayahanda marahkan kau lagi. Lebih baik kau fikir macam mana caranya nak berdandan dan menarik perhatian orang ramai di majlis tu annti. Puteri-puteri kerajaan Grandolia mestilah cantik dan bijak berbual kalau kau tak mahu jadi anak dara tua." Veronika memberi kata putus dengan tegas lalu berjalan keluar dari bilik itu.

"Tapi di mana kebebasan kita untuk memilih?" Viktoria berbisik.

Malam itu, dia menyelinap keluar dari biliknya dan terhendap-hendap cuba mengelak dari dikesan oleh pengawal istana. Semenjak dua ini dia perasan bahawa semakin ramai pengawal yang berkawal di pintu-pintu masuk istana. Istana itu terletak di atas bukit seperti sebuah kubu tentera. Bangunan itu dibina dari batu-bata yang berkualiti dan berwarna seakan-akan keemasan. Tidak salah lagi dengan gelaran Grandolia 'kerajaan emas' yang diuar-uarkan oleh rakyat jelata. Namun begitu, Viktoria sedar bahawa kerajaan emas itu bukan merujuk kepada hasil emas yang dikeluarkan tetapi hanya disebabkan istana kerajaan yang kelihatan seperti ketulan emas dai jauh. Hakikatnya, rakyat jelata negara itu kebayanyakannya hanyalah petani dan pemburu manakala di seberang sungai di selatan kerajaan itu, kumpulan pemberontak kerajaan dipercayai masih berleluasa di situ.

Viktoria menukar pakaian malamnya supaya tidak menarik perhatian sesiapa lalu berjalan ke kandang kuda yang terletak berhampiran kawasan latihan tentera. Dari jauh dia terpandang kelibat bayang seseorang sedang duduk di atas jerami kuda lalu dia menghendap di sebalik pintu kandang itu. Dia menarik nafas lega apabila melihat Craig sedang menantinya di situ.

"Kau datang juga.." Viktoria mengukir senyum. 

"Tuan puteri yang suruh aku datang, takkanlah tak datang." Craig membalas lalu bangkit berdiri memberi tunduk hormat.

"Sejak bila kau panggil aku tuan puteri ni? Gelilah.." Viktoria menampar lengan lelaki yang lebih tinggi darinya itu. "Kau dah dengar berita tentang majlis tari-menari tu?'

Craig mengangguk. "Aku dengar perkara ni dari ibuku. Kebanyakan pekerja di dapur dah mula bising-bising sebab ketua dapur istana dah suruh semua orang bersedia untuk memasak." Ibu lelaki itu ialah salah seorang yang bertugas di dapur.

"Apa yang patut aku buat? Aku tak nak memilih calon suami di kalangan orang yang hadir dalam majlis tu. Kau pun tahu betapa aku tak suka tinggal di istana. Aku cuma nak keluar dari sini dan hidup bebas di luar." Viktoria melabuhkan punggung di atas lunggukan jerami di sebelah Craig dengan wajah yang sugul.

Craig terdiam barangkali tidak tahu apa yang harus diperkatakan. Sememangnya dia ialah seorang lelaki yang sangat pendiam dan hanya berbicara apa yang perlu saja. 

"Aku rasa macam nak lari dari istana." Tutur Viktoria membuatkan Craig berpaling memandangnya dengan wajah yang terkejut.

"Kau serius?"

Namun seketika kemudian Viktoria ketawa. "Mana mungkin aku lari tinggalkan istana. Ilmu survivor Aku masih belum cukup di dada." Dia turun dari jerami itu lalu menepuk-nepuk pakaiannya yang agak berdebu. "Aku nak balik tidur. Jangan lupa janji kita esok nak menyeberang sungai."

Craig menepuk dahinya. "Kau masih fikir nak keluar esok? Aku sangka kau merajuk dan nak berkurung dalam bilik macam perempuan-perempuan lain?

Viktoria membulatkan matanya. "Berapa ramai perempuan lain yang kau kenal selain aku?"

Wajah Craig merona merah. "Aku pun ada kenal perempuan lain dalam istana."

Viktoria tersenyum nakal. Setahunya lelaki itu amat pemalu orangnya dan setahunya dia jarang berbicara dengan perempuan selain dirinya. Tapi dia tahu yang Craig amat popular dikalangan kakitangan istana yang muda. Dia pernah terdengar gadis yang bekerja di bahagian mencuci dan mengemas memberitahu kawannya betapa kacaknya lelaki itu. Kalau tak silap, Nina namanya.

"Kalau kau ada teman wanita kau kena beritahu aku." Viktoria mengenyitkan matanya sebelum dia mula berlari anak kembali ke dalam istana.


2 comments:

  1. Hai Sansa. Terima kasih melawat blog puisi saya. Kamu ada bakat menulis. Teruskan berkaya :)

    ReplyDelete