Friday 12 February 2016

The Runaway Princess : Bab 6

Katalina
Melihat seseorang lemas di dalam Sungai Jarnia bukanlah satu perkara biasa yang berlaku setiap hari bagi Katalina. Walaupun sungai itu ialah sungai yang jernih dan luas, namun puak Grey jarang sekali menghabiskan masa di tepi sungai kerana sangat terdedah dengan serangan dari tentera kerajaan Grandolia. Selalunya setiap pagi, tengah hari dan malam, tentera-tentera Grandolia akan berkeliaran di tepi sungai di seberang sana dan tidak akan teragak-agak untuk memanah puak Grey dari jauh tidak kira wanita ataupun kanak-kanak. Bagi mereka, puak Grey hanyalah penentang dan pemberontak kerajaan Grandolia dan wajib dihukum.

Hanya ada satu cara untuk mengenali puak Grey dan yang menjadikan puak itu unik dari puak-puak lain. Mereka mempunyai satu tompok kelabu cerah yang jelas kelihatan di mana-mana bahagian kulit berwarna keperangan di tubuh mereka. Setiap orang mempunyai tompok di bahagian tubuh yang berbeza dan ada juga yang kurang bernasib baik kerana mempunyai tompok kelabu yang jelas kelihatan di bahagian muka atau tapak tangan. Oleh itu, mereka lebih mudah dikesan dan diburu oleh tentera. Katalina masih bernasib baik kerana tompok kelabunya terlindung dari pandangan mata orang ramai, jadi dia lebih bebas bergerak ke sana-sini.

Katalina sedang sibuk menombak ikan di gigi air sungai yang cetek itu apabila dia secara tidak sengaja terpandang tangan seseorang menggapai-gapai di tengah sungai. Menyedari orang itu sedang lemas, tanpa berlengah dia mencampakkan tombak kayunya ke tebing lalu terjun dan berenang sehabis khudratnya ke tengah sungai. Sejak kecil, dia ialah perenang yang hebat. Malah setahunya, puak Grey memang mahir berenang dan berburu di hutan.

Katalina memegang lengan gadis yang hampir lemas itu namun dia seperti sudah hampir kehilangan nafasnya. Pasti air sudah banyak masuk ke dalam kerongkong gadis itu jadi dia perlu segera menariknya ke tebing. Tanpa membuang masa, dia memeluk gadis yang tidak sedarkan diri itu dan dengan memastikan mukanya tidak ditenggelami air, Katalina cepat-cepat berenang ke tebing sungai dan membaringkan gadis berambut hitam pekat itu ke tanah. Dia memeriksa denyutan jantung gadis itu dan dia sedar wajah gadis itu sudah hampir kebiruan. Dia perlu bertindak segera sebelum gadis itu kehilangan nyawanya.

Katalina pernah belajar tentang bantuan pernafasan dari mulut ke mulut dari ayahnya sebelum ini dan inilah kali pertama dia mempraktikkan kepada seseorang. Dia mendongak sedikit kepala gadis itu sebelum tunduk dan menyentuh bibir gadis itu dengan bibirnya lalu menghembus nafas sekuat hati sebelum menekan dada gadis itu dengan gerakan ke atas untuk mengeluarkan air dari peparunya. Bau gadis itu amat harum seperti bau bunga yang kembang di awal pagi.

Akhirnya gadis itu terbatuk dan sedar, membuatkan Katalina mengeluh lega.

"Nama aku Annalise. Panggil aku Anna." Gadis itu memperkenalkan dirinya tanpa segan silu. Malah, dia juga meminta pertolongan supaya Katalina mencari seorang kawannya.

"Kau sesat? Kau ni dari mana?" Katalina menyoal setelah memberitahu namanya kepada gadis yang memperkenalkan dirinya sebagai Anna itu.

"Aku... aku terjatuh dalam sungai masa ambil air tadi." Jawab Anna. Wajahnya yang kebiruan tadi sudah mula bertukar menjadi warna merah jambu yang cerah. Katalina berpendapat kulit gadis itu amat cantik dipanah sinaran matahari pagi itu dan dia tahu gadis itu bukan berasal dari kawasan berhampiran. Kulitnya itu sangat halus dan lembut seperti selalu menerima rawatan dan tidak pernah berjemur lama-lama di bawah sinaran matahari. Katalina mula mencurigai Anna namun tidak dizahirkan.

"Kau tak mahu tolong aku?" Anna menyoalnya sambil membuat muka sedih.

"Aku dah tolong kau tadi. Maaf, aku tak dapat tolong kau lagi. Aku tak kenal kau dan aku tak rasa kau berasal dari tempatku."

Baru saja dia hendak mengangkat kaki, Anna menyentap lengannya. Katalina meraba-raba pisau di pinggangnya bersiap sedia jika gadis itu menyerangnya namun Anna hanya merenung ke arahnya dengan wajah yang seperti mengharap.

"Tolonglah aku! Aku akan mati kalau kau tinggalkan aku keseorangan dalam hutan. Aku perlu cari kawanku sebab dia pasti akan risau." Rayu Anna lagi.

Setelah berfikir sejenak, dia menarik nafas panjang. "Kau berasal dari mana?" Katalina bertanya.

"Aku dari daerah Archeon, kampungku berdekatan dengan Gold City." Anna menjawab ringkas.

"Archeon? Jadi, kau tinggal di seberang sana?" Katalina menjuih bibir menunjuk ke arah seberang sungai sana.

Anna mengangguk. "Bantu aku ke seberang sungai. Melalui jambatan atau apa-apa saja."

Bibir Katalina terjungkit. "Jambatan kau kata? Mana ada jambatan di sungai ni. Takkanlah kau tak tahu Raja Nathan dah bakar jambatan yang sedia ada dulu dan mengharamkan pembinaan jambatan di sungai Jarnia?"

Mata Anna membulat tanda ini kali pertama dia mendengar perkara seumpama itu. "Kenapa?"

"Kau patut balik dan baca sejarah kerajaan Grandolia." Katalina menyindir. "Raja Nathan tak pernah mengikhtiraf penduduk daerah Freyes sebagai rakyat Grandolia hanya disebabkan nenek moyang kami pernah bersekutu dengan kerajaan musuh Grandolia. Hanya disebabkan nenek moyang kami puak penentang kerajaan dulu, kami dilayan seperti sampah. Kami tak dibenarkan menjejak kaki ke seberang sana. Kami tak dibenarkan berniaga atau memiliki harta di sana. Kami tak diberikan bantuan dan Raja Nathan keluarkan perintah untuk membunuh penduduk daerah kami jika kami ke sana."

Anna terdiam seperti sukar mempercayai kata-kata itu.

"Sudahlah aku malas nak sebut benda-benda ni lagi."

"Kau benar-benar dari puak Grey?" Anna menyoal dengan nada suara perlahan.

"Habis tu kau ingat aku ni siapa? Aku dilahirkan di sini tentulah aku dari puak Grey." Katalina menjawab dengan geram. Dia kembali menapak laju masuk ke dalam hutan.

"Kat, kau tak boleh tolong aku?"

Katalina menoleh memandang gadis yang baru dikenalinya itu seperti tidak percaya. Mereka baru berkenalan sepuluh minit yang lalu dan dia sudah dipanggil dengan nama gelaran?

"Aku tak boleh hantar kau balik ke Archeon atau cari kawan kau. Tapi, aku mungkin ada cara untuk tolong kau menyeberangi sungai Jarnia. Cara yang lebih selamat dari berenang tapi masih bahaya kalau terserempak dengan tentera Grandolia."

Wajah Anna kelihatan gembira.

"Tapi kau perlu ikut aku pulang ke kampung aku dulu. Kita akan perlukan beberapa barang sebagai pertukaran."

"Pertukaran apa?" Viktoria mula berjalan mengekori Katalina yang semakin laju ke depan.

Katalina menghela nafas berat. "Kau ni memang naif atau saja-saja berpura-pura naif? Kalau kau terus bersikap macam ni, orang kampung aku akan ingat kau ni sebenarnya anak orang kaya yang berasal dari Gold City tu."

Anna menelan air liurnya. "Apa akan jadi kalau aku memang berasal dari Gold City?"

Katalina tersenyum. "Mungkin mereka akan tangkap dan ikat kau. Lepas tu kau akan dijadikan tebusan dan mereka akan ugut keluarga kau yang kaya tu supaya serahkan wang kepada kami yang selalu kebuluran di sini. Kalau keluarga kau gagal bayar wang tebusan, maka tamatlah riwayat kau di sini." Katanya dengan nada yang mendatar dan tanpa perasaan.

*****

Viktoria

Kata-kata Kat itu membuatkan Viktoria terasa hendak pitam. Nampaknya dia perlulah menyamar sebagai Anna, sebagai gadis dari Daerah Archeon, sebagai gadis dari keturunan rakyat biasa sebaik mungkin. Jika mereka mengetahui dia ialah seorang puteri, lagilah nasibnya akan bertambah malang. Buat masa ini, dia hanya perlu berbaik-baik dengan Kat dan pastikan gadis itu menghantarnya ke seberang sana dengan selamat. Bila dia sampai di sana, dia akan meminta bantuan penduduk daerah Archeon untuk menghantarkan pesanan ke istana dan apabila mereka tahu puteri ketiga mereka selamat di situ, pasti akan ada orang di istana  datang menjemputnya nanti. Entah apa yang terjadi pada Craig, dia pun tidak pasti. Mungkin juga Craig akan kembali ke istana dan melaporkan kehilangannya. Mungkin sekarang ini pun sudah ada tentera Grandolia yang keluar mencarinya.

"Tapi kau ni memang hebat dapat selamat dari sungai Jarnia." Puji Kat secara tiba-tiba membuatkan Viktoria tersenyum di dalam hati. "Tak akan ada manusia sebodoh itu yang akan sengaja terjun dan berenang menyeberangi sungai Jarnia. Kami panggil sungai Jarnia ni sungai berhantu sebab sungai ni akan selalu berubah arus dan haluan. Kadang-kadang ada orang pernah nampak seperti pusaran air di dalam sungai ni dan jarang ada orang terselamat kalau terjatuh ke dalamnya. Sungai ni memang nampak jernih dan cetek tapi, kalau ada manusia cuba mandi atau berenang, air sungai akan laju dan mengganas secara tiba-tiba."

Viktoria mula menelan air liurnya. Dia pasti akan ingat peristiwa hari itu selama-lamanya.

Mereka berjalan di dalam hutan sehingga tiba di sebuah kawasan yang agak lapang dan Viktoria dapat melihat beberapa buah rumah kecil yang diperbuat daripada kayu dan batu di sekitarnya. Beberapa orang kanak-kanak berlari-larian dan Viktoria melihat beberapa orang lelaki muda sedang berlatih memanah dan berlawan pedang di kawasan lapang yang agak jauh dari kawasan perumahan itu.

Inilah kawasan pemberontak kerajaan.

"Mereka berlatih berlawan pedang untuk apa?" Viktoria menyoal walaupun dia sebenarnya tahu apa tujuannya. Mereka ini ialah kumpulan pemberontak yang mungkin berlatih untuk menggulingkan kerajaan pada bila-bila masa saja.

"Kami berlatih untuk berburu dan melindungi diri dari serangan musuh kami." Jawab Kat. "Mungkin kampung kau di Archeon lebih bernasib baik, masih diiktiraf oleh kerajaan Grandolia dan mungkin masih menerima bantuan dari Gold City. Tapi, kami rakyat yang tersisih dan diasingkan hanya kerana kami berasal dari puak Grey. Puak yang dibenci oleh raja kami sendiri."

Viktoria terdiam tidak tahu apa yang hendak dituturkan. Sepanjang dia di istana, dia telah diberitahu bahawa puak Grey hidup dengan agak mewah di hutan, hasil rompakan harta diraja dan harta penduduk di Gold City. Tapi, nampaknya mereka ini langsung tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke sana, malah hidup dalam kedaifan di penghujung negara ini tanpa apa-apa bantuan dari kerajaan. Bagaimana Kerajaan Grandolia boleh menutup mata terhadap mereka selama ini?

"Siapa ni?" Suara garau seseorang menyapa membuatkan mereka berdua berkalih. Viktoria terpandang seorang budak lelaki yang hampir sebaya mereka tanpa berbaju berkulit coklat sawo matang dan sedikit gelap dari Kat. Wajahnya bujur sirih dengan mata berwarna coklat muda dan rambutnya agak panjang mencecah lehernya. 

"Kawan aku." Jawab Kat dengan ringkas namun dia seperti hendak cepat mengelak dari budak lelaki itu.

"Nanti dulu... bukankah kau patut perkenalkan dulu orang asing yang masuk ke kawasan kita ni?" 

"Luc, aku tak ada masa ni. Aku perlu balik ke rumah sebelum ayahku bising." 

Viktoria sekadar tunduk mengelak dari terus direnung oleh budak lelaki bernama Luc itu namun tanpa semena-mena, Luc memegang lengannya dengan agak kasar. "Kau ni siapa?"

"Aku... Anna. Aku perlukan bantuan Kat untuk kembali ke kampung aku di Archeon." Viktoria terpaksa menjawab walaupun tergagap-gagap. Memberitahu cerita palsu yang sama yang diberitahu kepada Kat sebentar tadi.

"Kat?"

"Katalina."

"Kau dari Archeon? Dari seberang sungai Jarnia? Macam mana kau boleh berada di sini?"

Tangan Luc yang mengenggam lengan Viktoria ditepis kasar oleh Kat yang kemudian menarik tangan Viktoria supaya mengekorinya. Dia menjeling sejenak ke arah Luc dan Viktoria merasakan mereka berdua mempunyai sejarah bersama, mungkin sejarah yang kurang manis.

"Cepat ikut aku dan jangan bercakap dengan sesiapa pun di sini." Gesa Kat masih memegang erat tangan Viktoria dan bergegas ke sebuah rumah kecil yang agak terasing dari situ.

"Dia tu kawan kau?" Viktoria menyoal memandang sekilas ke arah Luc yang masih tercegat memerhatikan mereka berdua. Kat tidak menjawab sebaliknya terus menarik Viktoria lalu masuk ke dalam rumah kecil itu dengan pantas.

"Kakak dah balik?" Seorang budak lelaki menyapa dari dalam rumah itu membuatkan Viktoria yakin yang dia berada di dalam rumah Kat. Budak lelaki itu merenung tepat ke wajah Viktoria membuatkan Viktoria terkenangkan Viktor untuk seketika. Susuk tubuh mereka sangat berbeza. Budak ini lebih kecil dan kurus dari adiknya yang lebih tegap dan besar, barangkali Viktor tua sedikit dari budak lelaki itu. "Siapa ni, kakak?" Dia bertanya kepada Kat yang sedang mengunci pintu rumahnya dengan selak kayu.

"Mana ayah?" Kat bertanya tanpa menghiraukan pertanyaan adiknya. Dia kemudian bergegas ke sebuah bilik lain dalam rumah itu selepas menyangkutkan busur dan anak panahnya di ruang depan. Sekali pandang, Viktoria mendapati rumah itu hanya mempunyai dua buah bilik tidur, sebuah ruang hadapan dan sebuah ruang kecil yang terletak di belakang yang mungkin ialah sebuah dapur.

"Ayah keluar kejap." Budak itu menjawab namun matanya masih tidak lekang dari memandang Viktoria yang masih berdiri di depan pintu.

Viktoria tersenyum. "Nama kakak, Anna. Siapa nama kamu?"

"Marcus." Budak itu menjawab pendek. Dari ketinggiannya, Viktoria mengagak yang dia berusia dalam lingkungan 9 atau 10 tahun.

Kat keluar semula dari bilik itu dan memegang seuncang beg kecil sebelum memasukkan uncang kecil itu ke dalam poket bajunya. Di pinggangnya terselit sebilah pisau membuatkan jantung Viktoria berdebar untuk seketika. Gadis di hadapannya ini juga pasti seorang yang mahir berlawan.

"Kakak nak ke mana?" Marcus menyoal Kat.

"Marcus, dengar sini. Kakak akan balik tak lama lagi. Kalau ayah balik, jangan bagitahu yang kakak bawa balik dia ni ke rumah kita. Bagitahu ayah yang kakak masih belum balik dari sungai, okay?"

Marcus mengangguk perlahan-lahan.

Kat mengukir senyuman kepada adiknya lalu kembali mengambil busur dan anak panahnya sebelum membuka selak di pintu rumah. Dia mengintai ke luar pintu lalu menggamit Viktoria supaya mengekorinya. Viktoria mengukir senyuman kepada Marcus sebelum berjalan mengikut Kat yang telah keluar dari rumah itu.

"Kita nak ke mana?" Viktoria bertanya.

"Aku ada kenal seseorang yang selalu datang ke daerah Freyes melalui sampan. Dialah yang selalu menyeludup barang-barang dan bekalan makanan dari bandar ke tempat kami. Kemungkinan dia boleh bawa kau ke seberang sana asalkan kita bayar."

Seorang penyeludup?

No comments:

Post a Comment